Monday, June 22, 2009

LPT MENDEKATKAN TASIK KENYIR

Sumber UKOM dan Utusan Malaysia

Harapan tinggi diletakkan kepada Projek Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) untuk membolehkah adanya laluan Singkat Ke Tasik Kenyir.

Laluan melibatkan pakej 11 dan pakej 12 menghubungkan Batu Hampar ke Gemuroh yang mulanya dijangka dapat digunakan awal tahun depan mampu memendekkan masa dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) ke Tasik Kenyir.

Jalan singkat berkenaan hanya mengambil masa 35 minit dari LTSM berbanding sejam masa yang diambil ketika ini.

Namun harapan itu mungkin tergencat sedikit kerana pada Rabu lalu (17 Jun 2009), Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said berkata fasa dua Lebuhraya Pantai Timur (LPT) yang sebelum ini dijadualkan siap pertengahan 2011, dijangka mengalami kelewatan setahun lagi.

Ini kerana dua kontraktor yang terlibat dalam pembinaan lebuh raya itu menarik diri berikutan harga bitumen, yang merupakan bahan utama bagi kerja-kerja menurap lebuh raya itu, melambung tinggi.

Beliau berkata, setakat ini seorang kontraktor sudah menghantar surat menarik diri, manakala seorang lagi dalam proses untuk berbuat demikian.

“Harga bitumen yang tinggi menyebabkan kontraktor itu menarik diri kerana tidak mampu. Jika mereka teruskan juga kerja-kerja itu, mereka akan mengalami kerugian yang besar,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco di sini hari ini.

Fasa Dua LPT yang melibatkan 11 pakej pembinaan bermula dari laluan Jabor sehingga ke Kampung Gemuroh, membabitkan kos keseluruhan RM3.7 bilion.

Ahmad berkata berikutan penarikan diri dua kontraktor itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) akan membuka tender bagi mendapatkan kontraktor baru.

Sebelum ini pembinaan lebuh raya itu sudah beberapa kali terganggu antara tiga dan empat bulan disebabkan bahan binaan yang tinggi, namun projek itu diteruskan semula setelah harga bahan itu kembali stabil.

Apapun dengan siapnya laluan Pakej 11 dan 12 berkenaan pastinya mampu meningkatkan usaha membangunkan Tasik Kenyir dan menarik lebih ramai pelawat, terutama dari luar Terengganu berkunjung ke pusat pelancongan itu.

Beliau berkata, sehingga kini, Pakej 12 sudah mencapai 83 peratus kemajuan projek. Bagaimanapun, Pakej 11 memerlukan projek ditender kepada pemaju lain berikutan pemaju asal berdepan dengan masalah menyiapkan projek akibat kos yang meningkat sekali ganda.

“Batu dah dimasukkan cuma premix ( bitumen) tak dapat dimasukkan kerana kos meningkat sekali ganda menyebabkan mereka (pemaju) tak mampu laksanakan.

“Kalau buat pun mereka mengalami kerugian. Sebab itulah mereka serah diri dan kita telah buat tender semula melibatkan enam kilometer (km) dan sekarang dalam proses menunggu keputusan daripada Lembega Tender,” kata Menteri Besar ketika melawat Projek LPT Fasa 2 (Pakej 12) di Kampung Gemuroh, Kuala Terengganu, 18 Jun lalu.

Katanya, kegagalan pemaju meneruskan projek laluan pakej 12 kerana harga primex yang meningkat sekali ganda berbanding harga yang ditender sebelum ini.

Bagaimanapun, kerajaan akan memastikan proses memasukkan tender primex berkenaan dapat diselesaikan dalam tempoh tiga bulan dari sekarang.

Dalam pada itu, kerajaan juga sedang mengenalpasti pemaju lain untuk menamatkan kontrak mereka kerana kegagalan menyiapkan projek (primex) bagi memastikan mereka tidak menanggung kerugian yang lebih besar serta disenaraihitam daripada meneruskan projek lebuh raya yang lain.

Projek LPT Fasa 2 merupakan projek sambungan kepada LPT Fasa 1 bermula dari Jabur hingga ke Gemuroh, Kuala Terengganu sepanjang 180 km.

Sebanyak 70 peratus daripada skop kerja diuruskan oleh Jabatan Kerja Raya secara tender (50 eratus terbuka dan 50 peratus bumiputera tempatan) manakala 30 peratus dilaksanakansecara reka dan bina secara rundingan terus di bawah seliaan Lembaga Lebuh Raya Malaysia.

No comments:

Post a Comment