Saturday, June 27, 2009

Isu Stadium Runtuh - Idris sedia jika dipanggil oleh SPRM

Bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Idris Jusoh sedia memberi kerjasama jika dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung runtuhan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak dekat sini, awal bulan ini.

Idris yang baru pulang daripada mengikuti kursus jangka pendek di Amerika Syarikat malam tadi, berkata beliau akan memberi segala maklumat yang ada jika dikehendaki berbuat demikian.

"Kalau SPRM meminta saya membantu siasatan, saya bersedia," katanya ditemui pemberita selepas merasmikan majlis penutup Seminar Pendidikan Kolej Profesional Mara dan Kolej Mara di Kuala Terengganu semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kejadian bumbung stadium berkenaan yang menempatkan pintu A, B dan BI ke tempat duduk awam serta tempat duduk tetamu diraja serta orang kenamaan (VIP) yang runtuh awal bulan ini.

Idris yang turut meminta SPRM menyiasat secara menyeluruh termasuk daripada aspek perancangan pembinaan bumbung sehingga proses selepas strukturnya itu siap, berkata sehingga kini beliau belum dipanggil SPRM.

"Siasatan ini perlu dilakukan kerana kita perlu tahu kenapa struktur itu runtuh," katanya.

No comments:

Post a Comment