Saturday, June 27, 2009

600 koperasi di Terengganu menjelang 2013

Sumber: Utusan Malaysia

Kerajaan negeri mensasarkan 600 buah koperasi dapat diwujudkan di seluruh Terengganu dengan aset yang dianggarkan bernilai RM600 juta menjelang 2013.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Mohamed Awang Tera berkata, dianggarkan kira-kira 600,000 orang akan menjadi ahli koperasi dalam tempoh tersebut.

Beliau berkata, bagi mencapai usaha tersebut, kerajaan negeri akan menggunakan slogan 'satu kampung satu koperasi' dalam menggalakkan setiap kampung dapat menubuhkan sebuah koperasi di kampung masing-masing.

Menurut beliau, penubuhan koperasi yang melibatkan perniagaan industri kecil sederhana (IKS) amat digalakkan kerana industri itu dapat memberi keuntungan yang baik kepada setiap peserta.

''Ini juga selaras usaha kerajaan negeri dalam menggalakkan rakyat negeri ini terlibat dalam IKS bagi meningkatkan ekonomi keluarga kerana ia mampu memberi pulangan yang lumayan,'' katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-25 Koperasi Pekebun Kecil Daerah Kuala Terengganu (KODATER) Berhad di Wisma Peladang di Kuala Terengganu, kelmarin (25 Jun).

Hadir sama Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Negeri, Umar Sarim Saidin dan Pengarah Risda negeri, Zainabon Ismail.

Mengulas lanjut Muhamad Awang berkata, bagi membantu menubuhkan koperasi IKS, kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) akan mewujudkan satu unit di yayasan tersebut bagi menjalankan pelbagai aktiviti termasuk kursus-kursus keusahawanan.

Katanya, sehingga kini sebanyak 347 buah koperasi diwujudkan di seluruh negeri yang melibatkan keahlian kira-kira 255,000 orang dengan aset berjumlah RM293 juta.

Namun katanya, sebahagian besar koperasi yang diwujudkan itu banyak terlibat dalam industri kredit dan pengguna.

Beliau menambah, kegiatan koperasi merupakan sektor ketiga penyumbang kepada ekonomi negara dan ia sudah tentu menjadi sektor penting dalam meraih keuntungan dan sekali gus mampu memberi dividen tinggi kepada ahli.

Difahamkan KODATER yang kini mempunyai hampir 5,000 orang dengan menjalankan perniagaan pembelian getah sebagai teras aktiviti mampu memberi dividen lima peratus kepada ahli-ahlinya tahun ini yang melibatkan perbelanjaan RM59,000.

No comments:

Post a Comment