Monday, June 29, 2009

Maidam kutip zakat RM18.3j

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) mengutip zakat sebanyak RM18.3 juta daripada penduduk dan agensi perniagaan di negeri ini dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Yang Dipertuanya, Datuk Senara Muda Datuk Mazlan Hashim berkata, kutipan zakat tersebut berkurangan sebanyak RM27,265 berbanding kutipan dalam tempoh yang sama tahun lepas.

''Penurunan kutipan zakat ini mungkin berlaku ekoran kemelesetan ekonomi," katanya selepas Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Terengganu semalam.

Naib Presiden (Pembahagian) TNB, Azman Mohd. menyampaikan cek berjumlah RM1,313,452.98 kepada Mazlan dalam majlis tersebut.

Mazlan berkata, Maidam berjaya mengutip sebanyak RM66.2 juta pelbagai jenis zakat pada tahun lepas.

''Sebanyak RM35,808,578.88 telah diagihkan kepada asnaf-asnaf yang telah ditetapkan," ujarnya.

Dalam pada itu, Azman berkata, Terengganu merupakan negeri ke-12 menerima zakat perniagaan yang dijelaskan oleh TNB bagi tahun kewangan 2007/2008.

''Penyerahan zakat perniagaan kepada Terengganu itu merupakan sebahagian daripada RM13,431,888 zakat perniagaan TNB," ujarnya.

No comments:

Post a Comment