Monday, June 29, 2009

Terengganu Belanja RM60 Juta Untuk E-Book Tahun Depan

Sumber : Bernama

Kerajaan Terengganu dijangka membelanjakan kira-kira RM60 juta tahun depan bagi melaksanakan program buku elektronik atau e-Book, kata Menteri Besar Datuk Ahmad Said.

Beliau berkata pada tahun ini, kerajaan memperuntukkan RM30 juta bagi memperkenalkan program pembelajaran alaf baru itu kepada semua murid Tahun Lima dan sehingga kini, lebih 7,000 e-Book telah diagih kepada murid Tahun Lima di seluruh negeri.

"Peningkatan peruntukan sekali ganda itu berikutan kerajaan akan mengagihkan e-Book ini kepada semua murid Tahun Lima dan Empat tahun depan," katanya selepas menyampaikan e-Book kepada 614 murid dari 13 sekolah rendah di kawasan Dewan Undangan Negeri Jabi dekat Jerteh ini.

Beliau berkata dengan memperkenalkan pembelajaran dalam bentuk buku elektronik itu, ia dapat melonjak paradigma di dalam bidang pendidikan negeri itu.

Sementara itu, Ahmad berkata kerajaan tidak pernah mengabaikan kawasan yang dikuasai pembangkang kerana setiap pembangunan yang dirancang, akan dilaksana.

Pengagihan pembangunan yang dilakukan adalah sama adil bagi memastikan semua kekayaan negeri diagih kepada semua rakyat tanpa mengira fahaman politik mereka, katanya.

No comments:

Post a Comment