Monday, June 29, 2009

Terengganu mahu lahirkan 1,000 usahawan tani

Kerajaan negeri yakin mampu melahirkan 1,000 usahawan tani tahun ini yang berpendapatan RM2,000 ke atas sebulan, kata Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Rozi Mamat.

Katanya, keyakinan itu diasaskan kepada kedudukan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini apabila lebih 200 usahawan tani tempatan sudah memperoleh pendapatan sebanyak itu.

Yang membanggakan, kebanyakan daripada mereka berjaya memperoleh pendapatan sehingga RM15,000 sebulan hasil perusahaan dalam bidang ternakan ikan, ayam, lembu, kambing dan hasil tani.

Rozi berkata, pada peringkat nasional, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mensasarkan untuk melahirkan seramai 10,000 usahawan tani berpendapatan lebih RM2,000 sebulan .

Menurutnya, di peringkat negeri, kerajaan negeri yakin sasaran 1,000 usahawan tani ini mampu direalisasikan.

"Kerajaan negeri sendiri mengambil pelbagai inisiatif untuk memastikan sasaran ini tercapai antaranya menyediakan tanah seluas 80 hektar di Hulu Terengganu untuk penanaman jagung secara komersial.

Daripada tanah seluas itu, kita peruntukkan tanah seluas dua hektar untuk setiap peserta projek ini.

"Jadi, untuk tanaman jagung di tanah berkeluasan dua hektar seorang, ia mampu memberikan pendapatan lebih daripada apa yang kita jangkakan, malah mencecah sehingga RM15,000.

Apatah lagi, tanaman jagung boleh mengeluarkan hasil dalam masa sesingkat dua bulan untuk dijual di pasaran," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Ekspo Industri Asas Tani (IAT) Terengganu.
Seramai 125 usahawan IAT yang mengeluarkan sebanyak 10 jenis produk antaranya kerepek, produk sejuk beku, herba, nurseri, makanan tradisional, sos, bakeri, minuman dan jeruk menyertai ekspo berlangsung dari Jumaat lalu.

Rozi berkata, dengan usaha kerajaan negeri memperluaskan program agihan tanah pertanian untuk penanaman jagung kepada peserta di beberapa daerah akan membolehkan lebih ramai usahawan tani berjaya dilahirkan, sekali gus menjana pulangan ekonomi lebih tinggi untuk rakyat dan negeri.

Sementara itu, Rozi berkata, ekspo IAT yang dianjurkan Fama dengan kemudahan dan bayaran yang minimum, dilihat mampu menjadi landasan untuk usahawan tani tempatan dan pengusaha Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) memasarkan produk mereka secara lebih meluas.
"Saya harap ekspo ini dapat dimanfaatkan sebaik mungkin oleh golongan pengusaha untuk menjalinkan hubungan perniagaan yang lebih aktif dengan Fama dalam pemasaran produk.

"Kita juga mengharapkan supaya usahawan tani Terengganu bersungguh-sungguh dalam menghasilkan produk yang berkualiti tinggi supaya dapat menembusi sehingga ke pasaran peringkat global," katanya.

No comments:

Post a Comment