Monday, June 29, 2009

RM50j bina pusat peranginan di Tasek Kenyir

Sebuah pusat peranginan dan komersil akan dibangunkan di Tasik Kenyir bernilai RM50 juta.

Projek yang akan dibangunkan oleh Kumpulan STG itu membabitkan pembinaan pusat beli belah berserta hotel, rumah panjang dan banglo bagi membantu menarik lebih ramai pelancong ke tasik buatan manusia terbesar di Asia itu.

Ini adalah projek kedua STG di kawasan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) selepas melabur RM10 juta membangunkan Gold Coast Resorts (Gold Coast) di Kuantan, Pahang sebelum ini.

Pengerusi Kumpulan STG, Datuk Dr Alex Tan Siong Seng, berkata pembangunan Gold Coast Kenyir akan menjadi sesuatu yang unik.

“Kami yakin projek ini akan membantu menarik lebih ramai pelancong ke Tasik Kenyir untuk menikmati keindahan alam semula jadi dan sukan air.

"Di bawah pelan induk ECER, tasik ini telah dipilih sebagai pusat pelancongan agro yang mana ia akan dimajukan melalui aktiviti akuakultur dan pelancongan.

"Pembangunan di Tasik Kenyir ini seperti juga projek Gold Coast lain, akan menawarkan nilai pelaburan baik dan gaya hidup aktiviti riadah yang tiada tandingan," katanya dalam satu kenyataan di Kuala Terengganu kelmarin.

Beliau berkata, keistimewaan Tasik Kenyir yang kaya dengan keindahan flora dan fauna termasuk tarikan lebih 300 spesies ikan seperti Baung, Arowana, Sebarau, Toman dan Kelah akan menjadikan pembeli hartanah Gold Coast di situ nikmat percutian mewah yang unik dan sangat istimewa.

"Pembeli akan memiliki hartanah percutian mewah yang dibina di atas tasik yang diuruskan sebuah rangkaian hotel dan dapat menikmati panorama alam semula jadi.

Dalam masa sama, pemilik boleh memilih untuk hartanah mereka diuruskan sebuah syarikat profesional untuk penginapan harian sepanjang ketiadaan mereka," katanya.

No comments:

Post a Comment