Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman, mahu pelajar Terengganu meneruskan kecemerlangan dengan menguasai bahasa Inggeris sebaik-baiknya.
Tegasnya, kemahiran berbahasa Inggeris adalah satu aspek penting yang perlu diperkukuhkan di kalangan pelajar Terengganu seiring tahap kecemerlangan dalam bidang akademik.
"Kita sudah berada di satu tahap yang membanggakan apabila berjaya mengekalkan rekod cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) selama lapan tahun berturut-turut, serta kecemerlangan dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) serta Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
"Kini, kita perlu memikirkan strategi untuk memantapkan pengetahuan dan kemahiran murid berbahasa Inggeris sebagai asas untuk mereka menjadi pemain utama di peringkat antarabangsa, selari dengan perkembangan dunia yang kini tanpa sempadan," katanya.
Katanya, bahasa Inggeris penting bagi membentuk keyakinan diri yang tinggi di kalangan pelajar untuk berkomunikasi dalam bahasa Inggeris.
Hakikat bahawa bahasa Inggeris menjadi bahasa terpenting dalam perdagangan antarabangsa dan kepentingan bahasa itu sebagai bahasa Sains dan Teknologi tidak boleh dinafikan, bahkan kegagalan menguasainya boleh menyebabkan kegagalan bersaing di pentas antarabangsa.
"Sebagai contoh, kajian menunjukkan bahawa cubaan Jepun untuk menjadi kuasa teknologi maklumat global terbantut kerana rakyatnya kurang berkeupayaan berbahasa Inggeris. Halangan bahasa juga menyebabkan Jepun gagal menarik bakat asing memasuki negara mereka.
"Justeru, keupayaan berbahasa Inggeris akan melonjakkan kita sebagai satu bangsa penting di arena dunia. Saya sedar, mewujudkan ETP adalah satu cabaran getir, namun itu adalah usaha baik bagi memastikan pembelajaran bahasa Inggeris sebagai satu keseronokan," katanya.
Razif menyatakan perkara ini selepas majlis perasmian Tema Bahasa Inggeris (ETP) di Pusat Kegiatan Guru (PKG) Tok Jiring di Kuala Terengganu.
Projek ETP dibangunkan ExxonMobil dengan kerjasama Bahagian Teknologi Pendidikan JPNT yang menyediakan enam sudut menarik iaitu TJ Tunnel, TJ Bistro, Vocabulary Shack, Mini Zoo, Memory Lane dan Kiosk adalah projek yang memberi fokus dalam meningkatkan keyakinan serta minat pelajar menguasai bahasa Inggeris.
Projek tajaan ExxonMobil dengan kos RM350,000 dan mula beroperasi sejak tiga tahun lalu itu adalah yang kedua seumpamanya di negeri ini, selepas projek pertama di PKG Kemasek, Kemaman yang dibuka pada 2003.
Berikutan itu Razif mahu pelajar sekitar Terengganu menggunakan ETP kerana ia sumber serta persekitaran pembelajaran menarik, ia diharap dapat merangsang minat pelajar memperkukuh penguasaan bahasa Inggeris, yang mana ketika ini masih di tahap sederhana.
Katanya, dengan pemilihan lokasi PKG Tok Jiring yang terletak di pinggir bandar raya, ia akan dapat memanfaatkan kira-kira 59 sekolah rendah dan menengah membabitkan kira-kira 30,000 murid dan pelajar.
No comments:
Post a Comment