Sunday, June 28, 2009

Terengganu Tidak Lagi Beri Tanah Kepada Agensi Kerajaan Pusat

Kerajaan negeri Terengganu tidak akan lagi memberi tanah kepada agensi-agensi kerajaan pusat untuk dijadikan estet atau ladang sawit kerana negeri itu kini kekurangan tanah kosong.

Menteri Besar Datuk Ahmad Said berkata kerajaan negeri berhasrat untuk membangunkan sendiri tanah kosong yang ada bagi dijadikan ladang rakyat untuk membantu 6,000 golongan miskin tegar di negeri ini.

"Sehingga kini, kita telah mula menyediakan tapak semaian tanaman kelapa sawit di atas tanah seluas 3,200 hektar di Dungun manakala 2,400 hektar lagi kawasan di Setiu dalam proses mengeluarkan kayu-kayu balak untuk dibersihkan.

"Satu lagi kawasan seluas 2,400 hektar di Dungun sedang kita kenal pasti untuk dimajukan dengan tanaman sawit bagi membantu golongan miskin tegar ini," katanya selepas majlis pecah tanah Projek Felcra Berhad di Kampung Lubuk Dalam 4, Kijal semalam.
Ahmad berkata pada tahun ini, kerajaan negeri menyediakan peruntukan kira-kira RM100 juta untuk membuka 20,000 hektar ladang rakyat bagi membantu golongan miskin tegar, untuk memperoleh pendapatan sekurang-kurangnya RM750 sebuah keluarga.

Katanya kerajaan juga sanggup membeli ladang-ladang sawit di negeri lain yang ingin dijual bagi mempercepatkan agihan kepada golongan miskin berkenaan.

Projek ladang sawit Felcra di Kampung Lubuk Dalam 4 seluas kira-kira 648.286 hektar itu merupakan projek ke-217 Felcra di Terengganu untuk faedah kepada 300 peserta miskin terutama ibu tunggal.

Projek itu tidak lagi memberi lot-lot tanah kepada peserta, tetapi diberi dalam bentuk saham iaitu pendapatan yang diperoleh, ditolak dengan kos pengurusan dan sebagainya yang akan diagihkan sama rata kepada peserta yang terlibat.

No comments:

Post a Comment