Wednesday, June 24, 2009

Terengganu sedia pinjaman negeri minat guna e-book

Sumber: Berita Harian

KUALA BERANG: Kerajaan negeri bersedia memberi kemudahan kredit kepada mana-mana negeri yang berminat untuk menggunakan komputer riba mini atau e-book bagi menggantikan buku teks, seperti yang dilaksanakan Terengganu ketika ini.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, berkata kerajaan negeri melalui anak syarikat milik penuhnya, Top IT Industries Sdn Bhd yang memperoleh hak untuk memasar dan mengedarkan e-book sehingga ke peringkat Asia bersedia membincangkan perjanjian sesuai berhubung perkara itu.

Beliau berkata, kerajaan negeri bersedia mempertimbangkan penggunaan sistem kredit berikutan banyak permintaan diterima dari dalam dan luar negara, bagaimanapun, masalah kewangan dan peruntukan negeri lain terhad, sekali gus menyukarkan hasrat penggunaan e-book di kalangan pelajar mereka.

"Kita sedar Terengganu bertuah kerana kita ada royalti minyak yang memberi kelebihan kepada kita untuk menyediakan peruntukan besar kepada sektor pendidikan negeri. Saya akui menerima banyak maklum balas positif daripada kerajaan negeri lain yang berminat menggunakan e-book, tetapi tiada peruntukan kewangan mencukupi.

"Oleh itu, kita bersedia pertimbangkan untuk memberi kemudahan berbentuk pinjaman. Mungkin mereka boleh ambil dan pakai dulu e-book dan dijadikan seperti buku teks yang dipinjam, tetapi tertakluk pada syarat dan terma tertentu atau bayar dalam tempoh yang ditetapkan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan e-book kepada 441 murid Tahun Lima dari 10 sekolah rendah di Parlimen Hulu Terengganu. Hadir sama Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu, Datuk Tengku Putera Awang dan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman.

Sebelum ini Ahmad Razif berkata Brunei, Melaka dan Sarawak berminat untuk mencontohi Terengganu memperkenalkan penggunaan komputer riba mini atau e-book kepada murid sekolah rendah bagi menggantikan buku teks yang dilihat sebagai wadah terbaik untuk menyemarakkan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Beliau berkata Brunei serta dua negeri berkenaan tertarik selepas idea yang dilaksanakan itu disambut baik oleh Kementerian Pelajaran.

"Melihat perkembangan yang menggalakkan ini, Terengganu yang menjadi pemasar tunggal e-book di Malaysia, yakin mampu untuk membekalkan komputer riba ini kepada negeri yang berminat mulai tahun hadapan," katanya selepas merasmikan sambutan Hari Guru Peringkat Daerah Kuala Terengganu di Sekolah Menengah Teknik Terengganu kelamrin.

Ahmad Razif berkata, pengagihan e-book kepada semua 25,000 pelajar Tahun Lima di negeri dijangka selesai sepenuhnya pertengahan Julai ini dan operasi kilang pemasangan e-book yang terletak di Gong Badak, kini berjalan mengikut jadual.

Ahmad Said menjelaskan, setakat kelmarin, sebanyak 2,300 unit e-book sudah diagihkan dan daripada maklum balas diterima, semua murid berkenaan gembira dan lebih bersemangat untuk belajar apatah lagi kebanyakan mereka memiliki kemahiran asas dalam mengendalikan komputer.

"Alhamdulillah, setakat ini kita tidak ada menerima sebarang aduan berlaku kerosakan pada e-book dan saya tidak bimbang mengenai perkara itu kerana kita ada menempatkan pegawai khas untuk memperbaiki dan menyelenggara kemudahan e-book.

"Saya juga gembira kerana dimaklumkan pelajar kini lebih ghairah untuk belajar dengan e-book berbanding kaedah lama menggunakan buku teks," katanya.

No comments:

Post a Comment