Thursday, July 23, 2009

1,000 saksikan gerhana matahari di Kuala Ibai

Sumber: Utusan Malaysia

Kira-kira 1,000 penduduk bandar ini berkumpul di Pantai Kuala Ibai berdekatan Masjid Tengku Tengah Zaharah di sini pagi ini untuk menyaksikan fenomena gerhana matahari.

Mereka berkumpul di pantai berkenaan sejak pukul 8 pagi untuk menyaksikan fenomena tersebut melalui teleskop dan peralatan khas yang dibawa oleh Unit Falak, Fakulti Pengajian Kontemporari, Universiti Darul Iman Malaysia (UDM).

Ketua Unit Falak, Fakulti Pengajian Kontemporari, Roslan Umar berkata, fenomena itu boleh disaksikan di Kuala Terengganu bermula pukul 8.24 pagi sehingga pukul 9.56 pagi.

''Bagaimanapun, ekoran awan tebal, kita hanya dapat melihat fenomena ini kira-kira pukul 9.15 pagi.

''Kita hanya dapat melihat fasa separa gerhana bulan iaitu penutupan matahari oleh bulan sebanyak 13 peratus," katanya.

Katanya lagi, gerhana matahari adalah suatu fenomena yang jarang-jarang berlaku iaitu satu kali atau dua kali dalam satu tahun kalendar.

Beliau berkata, gerhana matahari terbahagi kepada empat bentuk iaitu gerhana penuh, gerhana annulus (cincin), gerhana hibrid (penuh+cincin) dan gerhana separa (sebahagian).

''Gerhana separa merujuk peringkat awal atau akhir suatu gerhana matahari atau bahagian bumi yang masih dapat melihat gerhana, tetapi tidak akan dapat melihat gerhana matahari fasa penuh atau berbentuk cincin," ujarnya.

No comments:

Post a Comment