Monday, July 27, 2009

1,794 sekolah termasuk di Terengganu jayakan Yakeb

Sumber:Berita Harian

















MD Razib (tengah) bergambar bersama Mohd Adnan (dari kiri), Ketua Unit Sukan Jabatan Pelajaran Perak, Ghazali Kasim; Abdullah; Mohd Idris; Nordin dan Dr Yeoh pada majlis simbolik penyerahan sumbangan kempen Yakeb baru-baru ini.


KIRA-kira 1,794 sekolah di tiga negeri - Terengganu, Perak dan Kuala Lumpur - akan menyertai kempen kutipan 1Ringgit 1Malaysia anjuran Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) menerusi Jabatan Pelajaran negeri terbabit.

Ketua Penolong Pengarah (Hal Ehwal Murid) Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan, Jabatan Pelajaran Terengganu, Mohd Adnan Salleh berkata, selain penyertaan 481 sekolah menengah dan rendah negeri itu, kutipan derma dijangka diperluaskan ke majlis jabatan yang kerap dianjurkan serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Ketua Sektor Pembangunan Kemanusiaan, Jabatan Pelajaran Perak, Mohd Idris Ramli pula, berkata semua pegawai pelajaran daerah akan diminta melaksanakan kutipan itu di sekolah di bawah pentadbiran masing-masing selepas Mesyuarat Pegawai Pelajaran diadakan.

"Kami juga bercadang meluaskan kutipan ini di setiap majlis peringkat negeri bagi menarik penyertaan mereka yang hadir," katanya selepas majlis simbolik penyerahan sumbangan kempen kepada Pengurus Besar Yakeb, Md Razib Md Shah, baru-baru ini.
Ketua Unit Sukan Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Nordin Mohd Noor, pula berkata, pelaksanaan kempen boleh dibuat menerusi Pejabat Pelajaran Daerah dan Jabatan Pelajaran Negeri termasuk kutipan ke setiap kelas di sekolah.

Kempen yang bermula pertengahan bulan lalu, turut mendapat sambutan Universiti Tun Abdul Razak yang menempatkan tabung di empat kampus mereka iaitu di Petaling Jaya, Setapak, Sungai Long dan Kampar, Perak.
"Kami rasa, kempen ini baik untuk disertai pelajar, sekali gus membuatkan mereka rasa komited terhadap masyarakat," kata naib presidennya, Dr Yeoh Suan Pow.

Selain itu, Pengurus A D Seafood & Hainan Chicken Rice di pusat penjaja Jalan Thaver, Kampung Pandan, Abdullah Ibrahim, berkata tabung yang ditempatkan di kedainya sejak seminggu lalu, mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan dan berharap tempoh kempen dapat dipanjangkan.

Mereka yang prihatin juga boleh menderma menerusi sms, dengan menaip YAKEB1 untuk RM1, YAKEB2 untuk RM2, YAKEB5 untuk RM5 serta YAKEB10 untuk RM10 dan hantar kepada 33898. Setiap derma akan dikenakan caj 50 sen kepada pengirim.

Sumbangan juga boleh disalurkan menerusi akaun Maybank Tabung Yakeb 564847005696, ibu pejabat dan cawangan NSTP serta cawangan Bank Simpanan Nasional seluruh negara. Sebarang pertanyaan boleh hubungi 03-89964841 atau layari www.yakeb.org.my.

No comments:

Post a Comment