Saturday, July 25, 2009

Taman Pelancongan Aqua RM7.5 juta

MB lancar buku Kenyir, Taman Pelancongan Akua Eko, dikanan beliau ialah Pengurus Besar Ketengah, Encik Hamzah Ngah – Gambar Shuhaimi Ahmad (UKOM)

Menteri Besar Datuk Ahmad Said berkata, kerajaan negeri ketika ini giat melaksanakan projek Taman Pelancongan Aqua dengan kerjasama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) di kawasan seluas 6.9 hektar di Pulau Tekak Besar yang menelan kos RM7.5 juta.

Beliau berkata, taman berkenaan akan menempatkan pelbagai spesies tumbuhan dan buah-buahan tempatan antaranya ceri Terengganu atau dikenali penduduk tempatan sebagai 'kerkuk'.

Pada Selasa lalu, Menteri Besar melancarkan buku ‘meja kopi’ berjudul Tasik Kenyir: Taman Pelancongan Aqua Eko dan feri Kenyir Lake Cruise di Pengkalan Gawi.

Katanya, projek membangunkan 10 pulau melalui projek 'Island Hopping' dan kemudahan lain di tasik itu akan bermula tahun depan dan ia termasuk projek Taman Tema Air dan kereta kabel di Pulau Poh; Taman Herba Pulau di Sah Besar; Pulau Burung; Pulau Rama-Rama; Santuari Kelah di Sungai Petang, Sungai Cacing dan Sungai Lebam serta Taman Orkid.

Sementara itu, dua feri sepanjang 14 meter berharga RM2 juta mampu memuatkan 50 penumpang yang dibangunkan syarikat pembuatan kapal dan bot laju, Kaymarine Sdn Bhd mula beroperasi semalam untuk membawa penumpang mengelilingi Tasik Kenyir.

MB melihat buah-buahan hutan ketika melawat Pulau Tekak Besar di Tasik Kenyir - Gambar Shuhaimi Ahmad (UKOM)

Reka bentuk feri berkonsep terbuka yang berkelajuan 15 knot menggunakan enjin 500 kuasa kuda dan direka khas untuk disesuaikan dengan aktiviti di 'Island Hopping' di tasik itu turut dilengkapi ruang pantri serta dua tandas mesra alam bagi kemudahan pelancong.

1 comment:

  1. satu soalan : dimana saya boleh dapatkan buku "Tasik Kenyir : Taman Pelancongan Akua" ?

    ReplyDelete