Kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) memperuntukkan RM623,000 bagi menjayakan Program Peningkatan Pendapatan Rakyat Miskin bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Alor Limbat sejak diperkenalkan pada 2006.
Pegawai YPKT Daerah Marang, Zahari Mat berkata, daripada jumlah itu, 109 penduduk DUN Alor Limbat menerima pelbagai jenis bantuan peralatan, menjadikannya antara penerima teramai bagi Parlimen Marang.
Menurutnya, daripada jumlah itu, YPKT membelanjakan RM112,155 bagi tahun 2009 untuk 16 penerima iaitu untuk fasa keempat sejak program diperkenalkan.
“Bagi program ini, YPKT memberi pertolongan melalui pemberian peralatan bagi membolehkan mereka bekerja dan berniaga dengan lebih baik dan sistematik.
“Bantuan yang diberikan juga pelbagai, termasuk motosikal roda tiga, mesin rumput, tong ikan, mesin jahit malah paku juga dibekalkan kepada mereka. Kita lebih suka bantuan diberikan dalam bentuk peralatan agar mereka lebih berusaha, berbanding memberi bantuan kewa-ngan,” katanya.
Menurut Zahari, YPKT membelanjakan RM103,000 pada 2006 bagi memberi bantuan kepada 29 penerima di DUN Alor Limbat dan jumlah itu meningkat kepada 43 orang (RM241,620) pada 2007, dan 21 penerima (RM166,320) pada 2008.
Sebelum itu, beliau menyaksikan Ahli Dewan Undangan Negeri Alor Limbat, Alias Abdullah menyerahkan bantuan motosikal roda tiga dan peralatan kepada lima penduduk bertuah di DUN berkenaan.
Sementara itu, Alias dalam ucapannya mengharapkan penerima bantuan menggunakan peralatan diberikan dengan sebaik mungkin dan tidak sekali-kali mengambil kesempatan menjualnya.
Menurut Alias, kerajaan sentiasa serius membanteras kemiskinan penduduk namun pada masa sama, ia perlu disusuli kesungguhan rakyat keluar daripada garis kemiskinan.
No comments:
Post a Comment