Friday, July 31, 2009

Hisham – saya bukan pemimpin pihak tertentu

Sumber: Sinar Harian

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menjelaskan pelantikannya sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu bukan untuk memimpin puak tertentu.

Sebaliknya, beliau berkata, pelantikan itu adalah amanah dan apa yang dipikulnya ketika ini telah ditakdirkan serta bukan dirancang.

Hishammuddin berkata, beliau turut tertanya-tanya pada awalnya apa sebabnya beliau diberi tanggungjawab memimpin Terengganu.

“Ini adalah satu amanah yang bukan sahaja untuk puak atau kumpulan tertentu tetapi amanah untuk bangsa, umat, agama dan tanah air,” katanya pada Majlis Pemberian sumbangan Sagu Hati Khas kepada Bekas Polis dan Balu/Duda Bekas Polis yang berkhidmat ketika darurat di Semenanjung dan Sabah/ Sarawak di Wisma Darul Iman, semalam.

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Tengku Putera Tengku Awang; Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian (Keselamatan), Datuk Ahmad Fuad Ab Aziz dan Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Shukri Dahlan.

Pada majlis itu, Hishammuddin turut menegaskan beliau tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dan akan melakukan tugas sebaik mungkin bagi mempertahan bangsa dan negara.

Selain itu, beliau turut menyentuh mengenai senario politik, ekonomi, sosial dan keselamatan hari ini yang jauh lebih mencabar.

Menurutnya, kerajaan terus menghadapi tohmahan, gangguan dan serangan anasir politik dalam negara, lebih-lebih lagi apabila Parlimen serta Dewan Undangan Negeri juga telah dicemarkan.

“Cabaran yang dihadapi juga berbeza dan sememangnya cara untuk menghadapinya juga perlu dirancang dengan teliti agar matlamat mahu dicapai akan terlaksana sepenuhnya,” katanya.

No comments:

Post a Comment