Wednesday, July 8, 2009

Amaran Za’abar - Jangan bawa penumpang lebih had

Oleh Shaarani Ismail (Berita Harian)

Kerajaan negeri tidak berkompromi dengan aspek keselamatan dan akan mengambil tindakan tegas terhadap pengusaha bot yang membawa penumpang melebihi had dibenarkan.
Ia bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku hingga menjejaskan imej Terengganu sebagai destinasi pelancongan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Za'abar Mohd Adib, berkata tindakan segelintir pengusaha bot membawa penumpang melebihi jumlah yang dibenarkan hanya akan menimbulkan ketakutan kepada pelancong yang berkunjung ke negeri ini seterusnya menjejaskan imej Terengganu.

"Saya tahu perkara itu berlaku disebabkan permintaan yang semakin meningkat untuk membawa pelancong bercuti di Pulau Redang mahupun pulau lain yang berdekatan, tetapi hal membabitkan keselamatan penumpang tidak boleh dipandang ringan dan diabaikan.

"Kekurangan pegawai penguat kuasa yang memantau aktiviti pengusaha bot ini juga menjadi antara sebab mengapa ada pengusaha yang berani membawa penumpang melebihi had yang dibenarkan kerana permintaan tinggi atau kerana tidak mahu pelancong menunggu lama untuk perjalanan seterusnya,” katanya selepas menyampaikan hadiah Pertandingan Melukis Citra Terengganu di Muzium Negeri semalam.

Beliau mengulas laporan mengenai penahanan dua bot pelancong di perairan Pulau Redang oleh Pasukan Gerakan Marin (PRM) kerana membawa muatan sehingga empat kali ganda daripada had dibenarkan.

Laporan itu menyebut, kedua-dua bot terbabit yang dimiliki sebuah syarikat pengendali pelancongan yang sama hanya dibenarkan membawa 12 penumpang bagi setiap bot tetapi ketika ditahan setiap bot diisi 33 dan 51 penumpang, malah ramai mereka tidak memakai jaket keselamatan hanya 12 yang tersedia dalam setiap bot.

Za'abar berkata, bagi memastikan perkara itu tidak berulang, penumpang yang mendapati pengusaha bot cuba membawa lebih daripada had yang dibenarkan supaya melaporkannya kepada agensi berkenaan supaya tindakan tegas dapat diambil bagi memastikan kejadian itu tidak berulang lagi.

Katanya, kerajaan negeri akan cuba mendapatkan maklumat lanjut berhubung kejadian itu dan akan mengambil tindakan tegas terhadap syarikat terbabit mengikut peruntukan yang dibenarkan.

No comments:

Post a Comment