Tuesday, July 7, 2009

Bayar zakat guna kad kredit

Sumber: Utusan Malaysia Online
Penduduk Terengganu berpeluang membayar pelbagai jenis zakat menggunakan kad kredit apabila perkhidmatan tersebut mula diperkenalkan di negeri ini mulai bulan depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama dan Adat Istiadat Melayu Terengganu (Maidam), Wan Harujan Sulaiman berkata, pihaknya dalam mesyuarat pada 18 Mei lalu meluluskan kaedah pembayaran zakat melalui kad kredit.

Justeru, kata beliau, pihaknya kini dalam proses membeli dua unit mesin pembayaran kad kredit bagi membolehkan perkhidmatan ditawarkan kepada rakyat Terengganu.

''Sebelum ini, Maidam hanya menawarkan perkhidmatan pembayaran zakat melalui kad debit namun perkhidmatan itu kurang mendapat sambutan kerana berdasarkan maklum balas menunjukkan penduduk Terengganu lebih menggemari penggunaan kad kredit.

''Dua mesin yang bakal dibeli akan ditempatkan di pejabat Maidam di Kuala Terengganu dan Kemaman," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Perbankan Islam oleh Public Bank Cawangan Kuala Terengganu di Kuala Terengganu semalam.

Wan Harujan menerima cek bernilai RM20,000 daripada Pengurus bank itu, Wan Hazmanor Wan Harun.

Wan Harujan berkata, sehingga 30 Jun lalu, Maidam mengutip sebanyak RM20,197,302 daripada pelbagai jenis zakat.

''Zakat pendapatan merupakan penyumbang paling besar dalam kutipan zakat dengan RM8.2 juta.

''Kuala Terengganu pula merupakan daerah paling tinggi menyumbang dalam kutipan zakat iaitu sebanyak RM15.2 juta," ujarnya.

Beliau memberitahu, daripada jumlah kutipan zakat itu, sebanyak RM14,575,730 telah diagihkan kepada lapan asnaf.

''Orang miskin merupakan asnaf paling banyak menerima zakat dengan jumlah RM7.4 juta diikuti dengan asnaf fisabilillah sebanyak RM4.4 juta," katanya.

No comments:

Post a Comment