Oleh Wan Yusof Hj Wan Ngah
citra_bangsa@yahoo.com
Usaha Kerajaan Negeri Terengganu memperkenalkan slogan ‘merakyatkan pentadbiran dan pembangunan’ sejak setahun yang lalu yang diperkenalkan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said bukan sekadar retorik.
Itulah sebabnya, Menteri Besar pernah memperkenalkan konsep ‘fikir rakyat’ kepada semua pegawai peringkat pengurusan dan sokongan sewaktu mereka menjalankan tugas bagi menjayakan slogan itu.
Menurut Datuk Ahmad Said, pendekatan merakyatkan pentadbiran dan pembangunan akan menjadikan pentadbiran lebih mesra rakyat selain pembangunan yang dirancang bermanafaat dan mendatangkan faedah secara terus kepada rakyat.
Sebenarnya, apa yang diperkenalkan Datuk Ahmad di Terengganu adalah selaras dengan apa yang dimahukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak yang mahukan pendekatan 1Malaysia, rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan.
“Saya juga ingin menjadi Menteri Besar rakyat kerana apa yang penting adalah rakyat adalah segala-galanya,” katanya dalam beberapa siri ucapan sebelum ini.
Menyedari hakikat itulah, walaupun sibuk dengan tugas seharian namun ia tidak menghalang Datuk Ahmad meluangkan masa mendekati dan menyapa mesra penduduk yang ditemui dalam setiap program yang dihadirinya.
Malah, dalam program pengagihan komputer ‘e-book’ beliau sendiri menyampaikan komputer riba kepada semua pelajar dalam setiap majlis penyampaian yangd dihadirinya.
Beliau sanggup berdiri hampir dua jam menunggu ratusan pelajar dan guru sambil menghulurkan komputer satu persatu tanpa jemu kepada semua penerima.
Apabila ditanya apakah perasaan kerana menyampaikan sendiri komputer kepada setiap pelajar, beliau sambil tersenyum berkata, “saya ingin bertemu dengan setiap pelajar dan rakyat kerana saya juga adalah rakyat dan rakyat adalah segala-galanya,”
Ahmad yang bangga bertemu setiap pelajar berharap rakyat pelbagai lapisan melupakan soal ‘titik bengik politik’ sebaliknya terus membantu kerajaan dalam menjayakan agenda ‘merakyatkan pentadbiran dan pembangunan’ (Utusan Melayu, Isnin 6 Januari 2009 – Wan Ramli Wan Mohamad).
Alangkah bertuahnya rakyat Terengganu kerana dianugerahkan Allah seorang pemimpin berjiwa rakyat seperti Datuk Ahmad Said ini yang sanggup mengutamakan rakyat dalam setiap tindak-tanduknya.
Walaupun beliau dikatakan menerima pelbagai halangan dan rintangan sepanjang menjadi Menteri Besar Terengganu, namun semangat dan iltizamnya cukup luar biasa.
Tidak hairanlah, beberapa pihak termasuk dari kalangan Geng 10 masih terus memboikot kehadirannya di sisi rakyat kerana mahu menjadikan isu pertikaian peribadi Geng 10 dengan Menteri Besar sebagai isu yang boleh mengganggu gugat pentadbiran kerajaan negeri.
Geng 10 sibuk mempertikaikan pertukaran pegawai-pegawai kerajaan negeri (TCS) di Terengganu tetapi mereka lupa bekas boss mereka, Datuk Seri Idris Jusoh yang mereka mahu nobatkan sebagai seorang pemimpin bertaraf dunia, pernah menghadapi isu ‘pemecatan’ seorang pegawai tinggi kerajaan negeri suatu ketika dahulu.
Maknanya, kalau zaman Idris, ia bukan isu tetapi kalau zaman Datuk Ahmad Said, ia akan dijadikan isu yang boleh menggugat kestabilan politik Terengganu.
Geng 10 mungkin memikirkan mereka terpilih menjadi wakil rakyat kerana Idris memilih mereka menjadi calon BN dalam PRU 12 yang lalu. Itulah sebabnya mereka harus taat-setia kepada Idris walaupun Idris tidak lagi terpilih menjadi Menteri Besar.
Mereka lupa, siapa yang memilih Idris dan parti mana yang mereka wakili. Apakah mereka terpilih menjadi wakil rakyat jika ‘pihak yang lebih atas’ tidak memilih Idris sebagai calon terlebih dahulu.
Jika ini mereka dapat fakir, mereka tentunya lebih taat kepada institusi kepimpinan Umno itu sendiri kerana mereka tidak mungkin bergelar YB tanpa Umno yang mereka sedang khianati sekarang ini.
Datuk Ahmad sebagai seorang individu ‘mungkin boleh dikhianati’ oleh mereka yang berjiwa pengkhianat tetapi Datuk Ahmad sebagai Menter Besar Negeri Terengganu tidak sewajarnya dikhianati kerana institusi kepimpinan itu mesti difahami kalau mahu mereka sendiri sebagai ADUN dihormati.
Kita sering mahu diri kita dihormati tetapi kenapa kita sendiri tidak tahu menghormati mereka yang patut kita hormati? Peliklah manusia ni, ketika mereka berada di puncak kuasa, mereka meminta semua pihak menyokong mereka tetapi apabila mereka kehilangan kuasa, mereka pula menjadi pengkhianat kepada ‘parti dan institusi kepimpinan’ yang pernah meletakkan mereka dalam kedudukan yang cukup tinggi.
Itulah sebabnya, sebagai Menteri Besar dan bekas Timbalan Menteri di peringkat Persekutuan, Idris Jusoh sepatutnya menggalakkan pengikut-pengikutnya memasuki kursus-kursus di mana-mana sekolah yang ada mengajar subjek ‘menghormati istitusi kepimpinan dan parti yang mereka sertai’.
Jika tidak ada sekolah seperti ini untuk memberikan kursus-kursus seperti ini, syorkan kepada Geng 10, termasuk Idris sendiri supaya menyertai kursus anjuran Biro Tata Negara (BTN) supaya mereka ini kenal erti perjuangan dan tahu etika sebagai seorang ahli parti.
Memetik kata-kata bekas Timbalan Presiden Umno, Allahyarham Tun Dr. Ismail Abdul Rahman, Umno tidak akan lemah kerana ancaman luar tetapi Umno akan lemah kerana ancaman dari orang dalam, iaitu ahli-ahlinya sendiri seperti apa yang dilakukan oleh geng 10 kepada kepimpinan Datuk Ahmad Said di Terengganu.
Geng 10 mungkin merasakan mereka betul dan mereka hero apabila membuat pelbagai karenah hingga sanggup memboikot persidangan DUN Terengganu dan tidak menghadiri majlis-majlis Umno dan kerajaan yang dihadiri Menteri Besar, tetapi hakikat sebenarnya mereka tidak tahu yang mereka sedang mempamirkan ‘kecetekan akal’ mereka.
Jika dilihat dari luar, Geng 10 ini memang tidak layak bergelar YB. Orang yang memilih mereka menjadi calon dahulu tidak memberikan kuliah dan takzirah yang mencukupi kepada golongan ini, syarat-syarat yang melayakkan mereka menjadi seorang YB.
Bayangkan, kalau Perdana Menteri memilih seseorang menjadi calon pilihan raya, apabila Perdana Menteri berhenti, adakah semua wakil rakyat yang mereka pilih itu perlu menubuhkan team seperti Geng 10, berarak ke hulu ke hilir memboikot Perdana Menteri baru? Hancurlah parti kalau inilah cara mereka ini berfikir?
No comments:
Post a Comment