Wednesday, July 29, 2009

Dua lawatan pemangku raja meriah

Lebih 13,000 penduduk sekitar Manir di Kuala Terengganu, tidak melepaskan peluang menyaksikan lebih dekat wajah Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin yang berkenan menghadiri Majlis Bersama Rakyat di Kampung Jeram, Telok Pasu kelmarin.

Sebelum itu Pemangku Raja Terengganu, ke Dataran Alor Limbat, Marang, turut mendapat sambutan meriah masyarakat dan penduduk sekitar yang begitu teruja untuk menatap wajah Raja kesayangan mereka dari dekat.

Di Kampung Jeram, ketibaan baginda yang turut diiringi kekandanya, Tengku Nadhirah Zahrah kira-kira jam 4.45 petang dengan menaiki 'buggy' disambut meriah oleh penduduk setempat serta pelajar sekolah yang mengibar bendera sepanjang jalan tanda menghargai kesudian baginda meluangkan masa bersama rakyat.

Kampung Jeram yang menjadi lokasi kedua majlis berkenaan selepas Dataran Seri Limbat, Marang pada Sabtu minggu lalu turut dimeriahkan dengan paluan alat muzik dikenali 'tarodak' serta perarakan bunga manggar dan pulut kuning turut mengiringi ketibaan Tengku Muhammad Ismail.

Hadir sama di Kampung Jeram ialah Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR), Tengku Baderulzaman; Menteri Besar, Datuk Ahmad Said dan isteri, To' Puan Norliza Mahmud serta Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Rahin Said.

Pemangku Raja turut meluangkan masa menziarahi keluarga mangsa lemas, Allahyarham Mohd Uzeir Norman yang juga anak saudara kepada Abdul Rahin. Murid Tahun Lima Sekolah Kebangsaan (SK) Banggol itu lemas ketika mandi di Sungai Jeram di sini, bersama dua abang dan dua rakannya dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari Jumaat lalu.

Pelbagai acara dan permainan tradisional disediakan untuk disertai penduduk setempat antaranya pertandingan sukan air, pukul bantal, meniti tiang licin dan menangkap itik. Baginda dipertontonkan dengan persembahan silat oleh murid Sekolah Kebangsaan Telok Pasu.

Antara aktiviti lain ialah pameran kuih tradisional, promosi hasil kraftangan penduduk setempat serta gerai jualan oleh peniaga tempatan.

Sementara itu keberangkatan pemangku raja pada 21 Julai ke Dataran Alor Limbat, Marang, turut berkenan mengurniakan bantuan kepada anak-anak yatim, orang-orang tua dan fakir miskin dalam DUN Alor Limbat.
















Tengku Muhammad Ismail dan Tengku Nadhirah Zahrah melihat demonstrasi membuat laksa pada Majlis Bersama Rakyat di Kampung Alur Limbat, Marang. - Foto SHUHAIMI AHMAD.

Pemangku Raja yang diiringi kekandanya, Tengku Nadhirah Zahrah dan Ahli Majlis Penasihat Pemangku Raja, Tengku Sri Laksamana Raja, berkenan menghadiri Majlis Bersama Rakyat.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said dan isteri To’ Puan Norliza Mahmud serta Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang dan isteri menyambut ketibaan mereka berdua.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan, Dato’ Mokhtar Nong dan isteri To’ Puan Rahmah A.Rahman; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Limbat, YB Alias Abdullah serta ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri; Ketua-ketua Jabatan dan lebih 7,000 penduduk daripada pelbagai golongan dan peringkat usia.

Kebawah DYMM Tengku Muhammad Ismail kemudiannya berkenan melihat demonstrasi menumbuk emping dan membuat laksa tradisional serta persembahan Go Kart, Pocket Bike dan Helikopter alat kawalan jauh.
















Tengku Muhammad Ismail berkenan menyampaikan bantuan kepada penduduk miskin sambil diperhatikan oleh Dato' Ahmad.

Sementara itu, Dato’ Ahmad dalam ucapannya menyifatkan kecenderungan dan perhatian Kebawah DYMM Pemangku Raja terhadap kebajikan rakyak menjadi pendorong dan menyuntik semangat rakyat untuk terus berusaha serta mengeratkan hubungan silatulrahim dikalangan masyarakat .

















Pertunjukkan `pocket bike' turut memeriahkan Majlis Bersama Rakyat di Kampung Alur Limbat.

Katanya sebagai rakyat yang sentiasa berpegang teguh kepada prinsip rukun negara iaitu kesetiaan kepada raja dan negara, kesudian hadir Kebawah DYMM Tuanku akan menyuburkan semangat dan usaha untuk terus mengekalkan kemakmuran bumi tercinta ini.

No comments:

Post a Comment