Monday, July 13, 2009

Fenomena gerhana matahari di KT 22 Julai

Sumber: Utusan Malaysia

Penduduk di negeri ini berpeluang menyaksikan fenomena gerhana matahari pada 22 Julai ini bermula pukul 7.30 hingga 10 pagi, di Pantai Batu Buruk di sini.

Fenomena matahari penuh jarang dapat dilihat di negara ini dan kali terakhir, pada 1998 iaitu sebelas tahun lalu.

Penolong Pegawai Tadbir Unit Falak, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Darul Iman Malaysia (UDM), Ahmad Taufan Abdul Rashid berkata, gerhana penuh matahari itu merupakan gerhana yang paling lama untuk abad ke 21.

Sehubungan itu, katanya, mereka yang berminat, digalakkan datang beramai-ramai untuk menyaksikan fenomena astronomi yang menakjubkan pada hari tersebut.

''Kita menyediakan teleskop dan peralatan khas supaya mereka berminat dapat menyaksikan simulasi fenomena gerhana matahari," katanya kepada Utusan Malaysia di Kuala Terengganu semalam.

Ahmad Taufan menambah, gerhana matahari adalah suatu fenomena yang jarang-jarang berlaku iaitu sekali atau dua kali dalam satu tahun kalendar.

Katanya, gerhana matahari terbahagi kepada empat jenis, iaitu gerhana penuh, gerhana annulus (cincin), gerhana hibrid (penuh+cincin) dan gerhana separa (sebahagian).

'' Gerhana separa merujuk peringkat awal atau akhir suatu gerhana matahari, atau bahagian bumi yang masih dapat melihat gerhana, tetapi tidak akan dapat melihat gerhana matahari fasa penuh atau cincin,

''Bagi penduduk Malaysia, mereka hanya berpeluang menyaksikan gerhana tersebut dalam fasa separa dalam peratus maksimum yang kecil antara 3% hingga 18% sahaja dari kebanyakan bandar-bandar utama," katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar menyaksikan fenomena gerhana matahari dengan menggunakan cara yang selamat.

Antaranya menggunakan penebat (penapis) alpha-hydrogen, penebat aluminium mylar dan filem hitam putih (monokrom) yang telah didedahkan kepada cahaya dan telah diproses.

Selain itu, katanya, orang ramai juga boleh menggunakan kaca penebat yang khusus untuk matahari.

Lain-lain kaedah menggunakan teleskop atau binokular dengan tripod lebih sesuai.

Paling tidak, katanya, anda boleh memerhatikan bayang matahari pada tanah yang melalui celah celah dahan pokok.

No comments:

Post a Comment