Monday, July 13, 2009

Projek impian Terengganu - kecuaian atau penyelewengan ?

(tajuk asal APA NAK JADI1: 2B (BENGANG & BINGUNG)

Oleh Hambali Abdul Latiff (Daripada bypass308)

"Saya terkilan kerana di Terengganu bukan saja Kompleks Akuatik menghadapi masalah tetapi bulan lalu, (sebahagian) bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin runtuh" kata Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor.

Sekali lagi membabitkan pengawasan projek yang lemah? Siapa yang bertanggungjawab? Bukankah JKR?

JKR Terengganu dilaporkan bertanggungjawab terhadap kawal selia pembinaan, dan pastinya banyaki persoalan bermain di kepala walaupun ketika ini tiada pihak boleh membuat sebarang kesimpulan terhadap tugas yang dilaksanakan itu dan adakah ia menjadi punca kompleks itu bermasalah atau sebaliknya.

Yang pasti sudah ada jaminan daripada JKR Pusat yang melaksanakan penyiasatan terhadap kompleks itu akan mengambil tindakan terhadap kakitangan JKR Terengganu yang bertanggung jawab membuat pemantauan projek itu, jika terbukti wujud kecuaian.

Jika JKR Terengganu ternyata melakukan kecuaian, di mana mahu diletakkan muka Pengarahnya?

Atau apakah orang lain turut terlibat dalam masalah ini?

Pertanyaanya, siapa kontraktornya, individu mana di belakangnya, siapa meluluskannya dan individu mana yang mnengawasinya?

Bagaimana pula kata rakyat Terengganu?

Rakyat Terengganu pasti mulai tertanya-tanya dan jelak dengan projek yang sebelum ini dibanggakan sebagai ‘Impian Menjadi Kenyataan’.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said pun akan turut mengulas kalau beliau ada di Kuala Terengganu.

Saya mengulas isu ini pada 7 Jun 2009 dengan mengatakan apabila Ahmad Said bersuara mengenai Pusat Akuatik ini mesti ada sebabnya.

Ini kerana kebimbangan kerajaan negeri terhadap tahap keselamatan projek mega yang baru siap di negeri ini berasas apabila pusat itu menunjukkan tanda-tanda bermasalah.

Laporan Utusan Malaysia (5 Jun 2009) dan sebuah portal berita seminggu sebelum itu mengatakan air dari kolam renang di pusat itu dikesan meresap masuk ke lorong yang memisahkan kolam renang dengan 13 buah kedai di sisi pusat itu menyebabkan air bertakung lalu memasuki premis perniagaan itu.

Menurut sebuah blog, satu sumber yang dipercayai memberitahu bahawa struktur bumbung Kompleks Akuatik Negeri di Batu Buruk, Kuala Terengganu mungkin akan menerima nasib yang sama jika tidak diperiksa dan diselenggara dengan baik mulai sekarang.

Siapa tidak bengang dan bingung (2B) apabila kompleks Akuatik Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT)yang dibina mengikut konsep reka dan bina itu siap pada Mei 2008 untuk digunakan pada Sukan Malaysia ke-12 yang dihoskan Terengganu pada Jun tahun lalu, kini bocor.

Berikutan itu, Kementerian Kerjaraya mengarahkan Pusat Akuatik MBKT bernilai RM18 juta yang baru setahun disiapkan ditutup sementara mulai semalam .

Ini kerana kualiti kemudahan dan tahap keselamatan yang menyebabkannya tidak sesuai digunakan orang ramai.

Shaziman berkata, pasukan penyiasat Jabatan Kerja Raya (JKR) mendapati banyak kelemahan dan kesilapan teknikal dalam proses mereka bentuk serta piawaian pembinaan yang tidak mencapai mutu ditetapkan sehingga berlaku kebocoran dan kerosakan peralatan.

"Kami sudah memeriksa persekitaran termasuk di bahagian bawah tanah dan mendapati banyak kebocoran. Kita dapat lihat soket elektrik yang terdedah kepada kebocoran air dan ini semua tidak selamat digunakan," katanya selepas meluangkan lebih sejam mengetuai pasukan penyiasat JKR melawat kompleks itu di Kuala Terengganu kelmarin.

Pengawasan dan pemantauan pembinaan kompleks itu dilaksanakan JKR Terengganu. Sekali lagi timbul persoalan sama ada “JKR vs JKR” seperti dalam isu Stadium Sultan Mizan.

Hadir sama, Ketua Pengarah JKR, Datuk Seri Dr Judin Abdul Karim dan Datuk Bandar Kuala Terengganu, Datuk Mat Razali Kassim.

Menurut laporan Berita Harian, Shaziman berkata, kerosakan kompleks itu mungkin disebabkan pelbagai faktor termasuk pengawasan projek yang lemah kerana perlu disiapkan segera, tetapi itu tidak patut menjadi sebab membolehkannya disiapkan tanpa ikut spesifikasi.

"Projek ini dalam tempoh jaminan dan kita mengarahkan kontraktor melakukan kerja pembaikan sebaik mungkin," katanya sambil menambah laporan penyiasatan lengkap kompleks itu diserahkan kepadanya oleh JKR Pusat 10 hari lagi.

Dalam maklum balas segera, Judin berkata, JKR Pusat yang melaksanakan penyiasatan terhadap kompleks itu akan mengambil tindakan terhadap kakitangan JKR Terengganu yang bertanggung jawab membuat pemantauan projek itu, jika terbukti wujud kecuaian.

Judin berkata, JKR Terengganu bertanggungjawab terhadap kawal selia pembinaan, bagaimanapun pihaknya masih belum boleh membuat sebarang kesimpulan terhadap tugas yang dilaksanakan itu dan adakah ia menjadi punca kompleks itu bermasalah, sebaliknya JKR akan membuat penilaian secara menyeluruh.

"Ketika ini kami mempunyai beberapa pandangan tetapi ia masih belum boleh dijadikan kesimpulan terhadap apa yang berlaku kerana ia mestilah berasaskan kepada fakta dan laporan yang akan diterima nanti bagi menjelaskan apa yang sebenarnya berlaku," katanya

No comments:

Post a Comment