Wednesday, July 22, 2009

Hati-hati dengan pegawai penguatkuasa KPDNKK palsu

Peniaga di negeri ini kena berhati-hati bimbang ditipu dua lelaki menyamar sebagai sebagai pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Ini berikutan peniaga kedai runcit di beberapa buah kampung di Hulu Besut mendakwa mereka menjadi mangsa penipuan dua lelaki yang menyamar sebagai pegawai penguat kuasa KPDNKK.

Peniaga berkenaan diminta menjelaskan sejumlah bayaran kepada 'pegawai' terbabit bagi mendapatkan sijil perakuan rawatan premis mereka untuk mengelak daripada dikenakan denda sebanyak RM3,000.

Ketua Penguat Kuasa KPDNKK cawangan Besut, Kamarudin Hussin sudah menafikan pegawainya terbabit melakukan penipuan itu.

"Kita akan siasat perkara ini, setakat ini memang tidak ada pegawai kita dikesan cuba memperdaya peniaga seperti yang didakwa," ujarnya.

Beberapa mangsa minggu lalu menceritakan bagaimana mereka ditipu.

Salah seorang mangsa, Norhayati Mohd. Jusoh, 42, dari Kampung Pancur berkata, dia didatangi seorang lelaki berpakaian kemas berusia lingkungan 30-an di kedai runcitnya kira-kira pukul 4.30 petang, Khamis lalu.

Pada masa sama, seorang lagi rakan lelaki itu menunggu dalam kenderaan jenis Proton Aeroback.

Katanya, lelaki itu kemudian memperkenalkan dirinya sebagai pegawai penguat kuasa KPDNKK lalu bertanyakan Perakuan Pendaftaran yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

"Lelaki itu kata, saya kena ambil satu sijil perakuan kesihatan dan kebersihan, jika tidak saya tidak boleh berniaga kerana kedai saya ini dikatakan banyak lalat, lipas, tikus dan semut.

"Kalau mahu sijil itu, saya kena bayar RM180 dan kepadanya dan bila saya kata tak cukup wang, dia kata saya boleh bayar dulu RM80," jelasnya.

Suspek berkata, baki RM100 lagi boleh dijelaskan di pejabat SSM untuk urusan memperbaharui Perakuan Pendaftaran.

Selain Norhayati, seorang lagi mangsa, Sarina Ahmad, 38, dari Kampung Pasir Badak yang menjalankan perniagaan runcit nyaris menjadi mangsa penipuan yang sama.

Dia mendakwa, lelaki yang sama mengunjungi kedai runcitnya dan mengakui sebagai pegawai bahagian kesihatan.

Bagaimanapun, mangsa bernasib baik kerana sempat menelefon suaminya yang segera pulang ke kedai mereka menyebabkan suspek beredar dari situ.

No comments:

Post a Comment