Sumber Bernama
Dua jawatankuasa khas dalaman - Jawatankuasa Salah Laku (JSL) dan Jawatankuasa Kerja Pemulihan (JKP) - ditubuhkan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk menyiasat masalah kerosakan yang berlaku pada Pusat Akuatik Majlis Perbandaraan Kuala Terengganu.
Ketua Pengarah JKR, Datuk Seri Prof Dr Judin Abdul Karim, berkata JSL yang dianggotai lima pegawai kanan JKR telah diarah menyiasat serta merta untuk mengenal pasti sama ada terdapat salah laku atau kecuaian yang melibatkan kontraktor, sub-kontraktor, perunding, pembekal serta pegawai-pegawai JKR yang terlibat dengan pembinaan struktur RM19 juta itu.
Beliau berkata pemeriksaan awal menunjukkan masalah itu berpunca daripada kelemahan reka bentuk, kualiti pembinaan yang kurang kemas dan sempurna, kelemahan pemilihan dan penggunaan bahan binaan serta tiada kerja penyenggaraan yang terancang dan berkesan.
"Namun kita perlu menyiasat secara lebih terperinci dan adil terhadap semua pihak yang terlibat sebelum mengambil tindakan," kata Judin pada sidang akhbar di pejabatnya di sini, hari ini.
Beliau berkata hasil siasatan dijangka diketahui Oktober ini dan sementara itu, pusat terbabit akan ditutup.
Judin berkata projek pusat akuatik itu masih dalam tempoh tanggungan kecacatan sehingga 31 Mei depan.
Projek itu dilaksanakan secara tender reka dan bina oleh Pakatan Nadiwangsa Sdn Bhd.
Ia memulakan pembinaan pada 3 Jan 2007 dan dijangka siap pada 15 Jan 2008, untuk Sukan Sukma tahun lalu.
Namun projek itu hanya dapat disiapkan pada 31 Mei 2008 dan kontraktor telah didenda RM200,263 kerana kelewatan sebanyak 61 hari.
Pusat Akuatik itu ditutup sejak 10 Julai berikutan JKR mendapati banyak masalah seperti pengaratan pada struktur keluli bumbung bangunan, pagar, tangga, saluran elektrik dan lampu.
Dinding dan dek kolam terjun pusat itu juga mengalami masalah resapan dan kebocoran air yang serius.
Ketika ditanya sama ada pembinaan pusat itu memenuhi spesifikasi yang ditetapkan oleh JKR, Judin berkata: "Pada saya, nampaknya tidak. Tapi inilah sebabnya kami perlu mencari jawapan kenapa ia (projek itu) diluluskan".
No comments:
Post a Comment