Tuesday, July 21, 2009

Jom tenguk Gerhana Matahari di Pantai Batu Buruk esok

Penduduk di Terengganu patut mengambil peluang menyaksikan fenomena gerhana matahari esok bermula pukul 7.30 hingga 10 pagi, di Pantai Batu Buruk Kuala Terengganu.

Fenomena matahari penuh jarang dapat dilihat di negara ini dan kali terakhir, pada 1998 iaitu sebelas tahun lalu.

Penolong Pegawai Tadbir Unit Falak, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Darul Iman Malaysia (UDM), Ahmad Taufan Abdul Rashid berkata, gerhana penuh matahari itu merupakan gerhana yang paling lama untuk abad ke 21.

Sehubungan itu, katanya, mereka yang berminat, digalakkan datang beramai-ramai untuk menyaksikan fenomena astronomi yang menakjubkan pada hari tersebut.

Bagaimanapun, menurut laporan Utusan Malaysia hari ini, hanya gerhana matahari separa akan dapat dilihat di Malaysia secara minimum pagi esok.

Gerhana matahari separa itu, yang amat sukar dicerap dengan mata kasar, akan berlaku pada 8.23 pagi dan berakhir pada 9.48 pagi.

“Bagaimanapun hanya lebih kurang 17.8 peratus sahaja kawasan permukaan matahari akan ditutupi oleh bulan semasa gerhana separa itu berlaku,” kata Ketua Unit Penyelidikan Sains Angkasa (UPSA) ANGKASA, Mhd. Fairos Asillam, dalam satu kenyataan semalam.

Kawasan utara semenanjung merupakan kawasan yang terbaik untuk mencerap gerhana matahari separa itu, katanya.

Dalam abad ini, penduduk Malaysia akan dapat menikmati gerhana matahari separa pada 15 Januari 2010, 9 Mac 2016 dan 26 Disember 2019, katanya.

Kejadian gerhana itu berikutan berlakunya fenomena gerhana matahari penuh, yang merupakan gerhana matahari terpanjang di abad ini.

''Kita menyediakan teleskop dan peralatan khas supaya mereka berminat dapat menyaksikan simulasi fenomena gerhana matahari," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ahmad Taufan menambah, gerhana matahari adalah suatu fenomena yang jarang-jarang berlaku iaitu sekali atau dua kali dalam satu tahun kalendar.

Katanya, gerhana matahari terbahagi kepada empat jenis, iaitu gerhana penuh, gerhana annulus (cincin), gerhana hibrid (penuh+cincin) dan gerhana separa (sebahagian).

'' Gerhana separa merujuk peringkat awal atau akhir suatu gerhana matahari, atau bahagian bumi yang masih dapat melihat gerhana, tetapi tidak akan dapat melihat gerhana matahari fasa penuh atau cincin.

''Bagi penduduk Malaysia, mereka hanya berpeluang menyaksikan gerhana tersebut dalam fasa separa dalam peratus maksimum yang kecil antara 3% hingga 18% sahaja dari kebanyakan bandar-bandar utama," katanya.

Orang ramai dinasihat agar menyaksikan fenomena gerhana matahari dengan menggunakan cara yang selamat.

Antaranya menggunakan penebat (penapis) alpha-hydrogen, penebat aluminium mylar dan filem hitam putih (monokrom) yang telah didedahkan kepada cahaya dan telah diproses.

Selain itu, orang ramai juga boleh menggunakan kaca penebat yang khusus untuk matahari
Kaedah lain ialah menggunakan teleskop atau binokular dengan tripod lebih sesuai.

Paling tidak kita boleh memerhatikan bayang matahari pada tanah yang melalui celah celah dahan pokok.

No comments:

Post a Comment