Awal bulan ini, ketika Minggu Mesra Siswa berlangsung, satu majlis ‘Program Bersama Tokoh’ dilangsungkan di Universiti Darul Iman (UDM).
Bekas Menteri Besar Dato’ Seri Idris Jusoh dilaporkan dijemput hadir dalam ‘program bersama tokoh’ dan sudah pasti ada sahajalah perkara diperkatakan.
Jemputan itu mulanya tidak mendatangkan sebarang perbincangan, lebih-lebih lagi Idris dilihat sebagai ‘orang yang bertanggungjawab’ melahirkan UDM.
Malah melihat kepada pentadbiran UDM itu sendiri, Idris dilihat sebagai orang yang bertanggungjawab ‘membawa balik’ Profesor Datuk Dr. Alias Daud untuk menjadi Naib Canselor.
Apapun, beberapa hari selepas itu ada cakap-cakap mengatakan ‘beberapa perkara yang diperbincangkan pada program itu kurang menyenangkan banyak pihak, termasuk istana’.
Lebih terserlah apabila Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah tidak berangkat hadir ke Majlis konvokesyen UDM dan tidak di masyhurkan sebagai Canselor pertama universiti tersebut.
Sebuah blog yang memetik seorang kakitangan Universiti berkenaan memberitahu, bukan sahaja Tuanku Permaisuri tidak hadir malahan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said serta ahli-ahli Exconya juga turut tidak hadir.
Majlis makan malam rasmi yang dianjurkan oleh pihak Universiti itu hanya dihadiri oleh Yang DiPertua Majlis Penasihat Pemangku Raja, Tengku Seri Panglima Raja, Tengku Badruzaman Sultan Mahmud.
Perkara ini telah menimbulkan banyak spekulasi di kalangan rakyat negeri ini khususnya persoalan apakah sebabnya Yang DiPertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Permaisuri Agong tidak berangkat ke majlis yang amat penting itu.
Ia adalah kerana, menurut sumber lain, pada hari Majlis Konvokesyen UDM, Tuanku Yang DiPertuan Agong berada di Terengganu, namun tidak ada sebarang kenyataan dikeluarkan, oleh mana-mana pihak, mengapa baginda tidak hadir.
Sebelum ini oleh pihak UDM memaklumkan Tuanku Permaisuri Agong akan berangkat hadir pada majlis konvokesyen yang julung-julung kali diadakan itu.
Pada 28 Jun lalu, Dr. Alias berkata, Tuanku Nur Zahirah telah menyatakan perkenan baginda untuk pelantikan tersebut dan persetujuan berangkat ke istiadat pemasyhuran itu.
"Pemasyhuran itu akan dibuat semasa majlis konvokesyen pertama UDM pada 14 hingga 16 Julai ini," katanya semasa majlis pendaftaran pelajar baru sesi 2009/2010 di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, Kampus Kolej Universiti Sultan Zainal Abidin (KUSZA) di Gong Badak.
Mengulas kelewatan penganjuran konvokesyen, Alias berkata, ia disebabkan pihaknya terpaksa menyediakan peralatan baru.
Tahun lalu, sebuah akhbar mendedahkan, UDM gagal mengadakan Konvokesyen selepas tiga tahun dinaik taraf sebagai universiti (dulunya dikenali sebagai Kolej Universiti Sultan Zainal Abidin atau KUSZA).
Sebaliknya pada tahun ini, walaupun konvokesyen berjaya diadakan, ianya dilihat tidak sempurna dengan ketidakhadiran Canselornya dan para graduan hanya menerima skrol Naib Canselor sahaja.
No comments:
Post a Comment