Sunday, July 19, 2009

MB - Kuala Terengganu akan dibangunkan


Sumber: Bernama

Sebahagian wang royalti yang bakal diperoleh kerajaan negeri Terengganu tidak lama lagi akan diperuntukkan bagi menjalankan lebih banyak pembangunan di sekitar Bandaraya Kuala Terengganu.

Bandar raya itu kini turut dikenali sebagai Bandaraya Warisan Pesisir Air.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, berkata apabila wang itu diperoleh, kerajaan merancang untuk membangunkan kawasan bandar dengan langkah awal melakukan pengambilalihan tanah di kawasan Ladang, Tanjung hingga ke kawasan Pasar Raya Astaka.

"Pengambilan tanah di kawasan berkenaan dianggar menelan belanja ratusan juta ringgit.
Ini kerana harga tanah kawasan itu terlalu mahal kerana terletak di tengah-tengah bandar," katanya kepada pemberita ketika menghadiri Majlis Bersama Rakyat di Kampung Alor Limbat dekat Marang, hari ini.

Ahmad Said berkata, kerajaan akan membangunkan bandar Kuala Terengganu dengan rangkaian kedai dan 50 peratus daripadanya akan dijual manakala selebihnya akan disewa kepada peniaga Bumiputera.

Beliau berkata, kerajaan akan menambah pelbagai kemudahan di bandar raya itu setanding dengan bandar raya besar di negara ini.

Mengenai program bantuan kerajaan negeri kepada pelajar yang menghadapi masalah penglihatan di negeri ini, Ahmad berkata setakat ini seramai 20 pelajar telah mendapat rawatan susulan Hospital Mata Tun Hussein Onn dan ada juga yang perlu menjalani pembedahan mata di luar negara.

No comments:

Post a Comment