Monday, July 20, 2009

Seks bebas kalangan pelajar Kota Bharu membimbangkan

Jauhilah Terengganu daripada petaka seperti ini.

Perlakuan seks bebas di kalangan pelajar di beberapa sekolah di jajahan Kota Bharu makin ketara dan membimbangkan.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Zahruddin Abdullah berkata, sekurang-kurangnya 40 kes dilaporkan sepanjang enam bulan pertama tahun ini.

''Bagaimanapun tentunya banyak kes lagi tidak dilaporkan dan orang ramai juga sering memperkatakan dan merungut mengenai gejala itu," katanya.

Hasil siasatan polis mendapati, kurangnya pendidikan agama, pergaulan yang tidak terkawal serta masalah keluarga menjadi penyumbang utama gejala itu.

''Apabila berlakunya seks bebas di kalangan pelajar sekolah bawah umur, kes berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

"Walaupun ia dilakukan secara suka sama suka, disebabkan mereka bawah umur, polis boleh menjalankan siasatan apabila menerima sebarang laporan yang dibuat oleh mangsa," katanya.
Menurut laporan Utusan Malaysia, beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Bulan Cakna Disiplin, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Chepa 2, semalam.

Zahruddin memberitahu, program berkenaan bertujuan menanam dan menyemarakkan semangat sikap cakna disiplin dan prihatin guru terhadap salah laku pelajar.

Beliau berkata, selain perlakuan seks bebas, ada pelajar yang dikesan terlibat dengan penyalahgunaan dadah, lumba haram dan kutu rayau.

Bagaimanapun, katanya, jumlah pelajar yang disyaki terlibat dengan penyalahgunaan dadah pada tahun ini berkurangan berbanding pada tahun lalu seramai 48 orang ditahan.

Beliau berkata, penurunan amat ketara sekali apabila pada tahun ini hanya hampir 10 orang pelajar yang ditahan kerana terlibat dengan penyalahgunaan dadah termasuk ada yang ditahan di sekolah kerana memiliki dadah jenis pil kuda.

Katanya, untuk mengatasi mengurangkan masalah sosial di kalangan pelajar, ibu bapa perlu memainkan peranan mendidik dan mengawasi pergerakan anak masing-masing, apabila mereka berada di luar sekolah.

"Ibu bapa yang mempunyai sikap 'tak apa' akan memberi peluang kepada mereka melakukan jenayah atau sebaliknya.

"Sebagai contoh, apabila anak mereka keluar dan tidak balik ke rumah, sikap tak apa itu ada pada ibu bapa, ia akan merosakkan anak mereka sendiri," katanya.

Zahruddin berkata, dalam usaha membantu pihak sekolah dan ibu bapa, polis sudah banyak mengadakan kempen-kempen di sekolah termasuk mengadakan ceramah atau pameran kepada pelajar agar mereka mempunyai kesedaran pada diri masing-masing.

"Kita tidak mahu melihat kejadian yang tidak diingini berlaku di rumah seperti berlakunya kes penderaan atau sumbang mahram,'' katanya.

No comments:

Post a Comment