Sumber: Utusan Online/Berita Harian Online
Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said kecewa dengan sikap penduduk di bandar raya itu yang masih tidak menjaga kebersihan sehingga boleh menjejaskan sektor pelancongan negeri.
Beliau berkata, perkara itu perlu diberikan perhatian serius kerana setiap tahun kedatangan pelancong ke Terengganu termasuk di bandar raya itu, sentiasa meningkat.
"Peniaga restoran, pasar minggu, pasar malam dan pemandu didapati masih mengabaikan kebersihan dengan membuang sampah di merata-rata sedangkan aspek itu perlu diberikan perhatian yang serius," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menyambut ketibaan penerbangan pertama Firefly dari Singapura ke sini, yang membawa bersama 50 penumpang di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), petang kelmarin.
Kebersihan penting kerana Terengganu juga memiliki prasarana sukan kelas pertama mampu menjadi pusat sehenti sukan bertaraf antarabangsa, khususnya dalam menyediakan lokasi untuk atlit luar negara menjalani latihan terutama bagi sebarang sukan yang dianjurkan di negara ini.
Ahmad Said, berkata kewibawaan Terengganu dalam penganjuran pelbagai acara sukan bertaraf antarabangsa sudah terbukti, malah kecemerlangan atlit negeri dalam kejohanan sukan tempatan dan luar negara patut dijadikan kesinambungan untuk merealisasikan hasrat Terengganu sebagai pusat sehenti sukan.
"Terengganu sudah banyak menganjurkan sukan peringkat dunia antaranya Kejohanan Sepak Takraw Antarabangsa; Kejohanan Endurance Sedunia dan Kejohanan Kapal Layar Piala Monsun dan berjaya membuktikan kemampuan Terengganu menjadi tuan rumah acara sukan antarabangsa.
"Sebagai legasi kepada kecemerlangan sukan Terengganu, kita sediakan prasarana sukan yang baik dan ia boleh dimanfaatkan untuk menjadikan negeri ini sebagai pusat latihan sukan untuk atlit negara luar menjalani latihan di sini, sebagai persiapan menghadapi sebarang kejohanan sukan dianjurkan di Malaysia.
"Langkah ini bukan saja dapat memperkenalkan Terengganu sebagai pusat sehenti sukan khususnya kepada negara jiran, tetapi juga memberi ruang dan peluang untuk atlit tempatan terutama dari Terengganu untuk menimba pengalaman dan mempelajari teknik sukan yang boleh memanfaatkan mereka," katanya.
No comments:
Post a Comment