Wednesday, July 8, 2009
Memupuk pelancong cintai seni warisan Terengganu
Oleh : SURIATI BINTI ALI (UKOM)
Usaha menarik pelancong ke Terengganu oleh agensi kerajaan dan swasta melalui acara tahunan turut membabitkan bidang seni dan warisan.
Muzium Negeri Terengganu antara agensi kerajaan yang aktif menganjurkan aktiviti pelancong mencintai seni dan warisan Terengganu.
Terbaru, Pertandingan Melukis Citra Terengganu 2009 diadakan bertujuan mncungkil bakat masyarakat terutama peminat seni lukis.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, Datuk Za’abar Mohd Adib, berkata pertandingan itu menjadi strategi untuk menggalakkan pelancong domestik datang ke Terengganu seterusnya melawat muzium negeri.
Hadiah keseluruhan bagi pertandingan itu berjumlah RM46,000 bagi dua kategori iaitu spontan dan karya siap.
Dato’ Za’abar berkata, melalui pertandingan yang dianjurkan itu pihak muzium secara tidak langsung dapat membantu menggiatkan karyawan seni yang selama ini ketandusan aktiviti selain dapat menambah koleksi lukisan.
“Pertandingan dianjurkan ini, termasuk dalam 10 aktiviti tetap tahunan yang dianjurkan agensi kerajaan itu.
“Kira-kira 150 peserta dari pelbagai negeri menyertainya. Berdasar sambutan menggalakkan dan meningkat setiap tahun itu, muzium negeri bersetuju meneruskan pertandingan sama pada masa akan datang,” katanya berucap pada majlis penyampaian hadiah sempena pertandingan itu di muzium negeri, Kuala Terengganu, kelmarin (6 Julai).
No comments:
Post a Comment