(TERENGGANULENING)
RENTAK permainan pasukan Terengganu di persada Liga Super menjadikan mereka antara pasukan digemari ‘bookie’.
Sudah bermusim, fenomena menang ke atas pasukan kuat dan tewas kepada yang lemah menjadi resipi keuntungan berjuta ringgit kepada ‘bookie’ bola sepak di dalam dan luar negara.
Menurut bekas ‘bookie’ yang hanya mahu dikenali sebagai Mr T, kaki judi senang terpengaruh dengan kegagahan Terengganu apabila bertemu pasukan kuat yang mengakibatkan mereka hilang wang pertaruhan.
“Musim ini juga sama apabila Terengganu bertindak cemerlang dengan menundukkan pasukan seperti Selangor, Perlis dan Kelantan tapi kecundang apabila berdepan dengan KL Plus, Kuala Muda Naza dan Johor FC.
“Baru-baru ini, Terengganu menang 2-0 ke atas Kelantan yang bertandang sebagai pilihan, tapi mereka cuma mampu seri 1-1 dengan Perak apabila Terengganu menjadi pasukan pilihan untuk menang,” kata Mr T yang kini seorang ahli perniagaan sah di Kuala Terengganu.
Katanya lagi, situasi sebegitu yang disukai ‘bookie’ kerana kebanyakan kaki judi suka memihak kepada pasukan kuat walaupun terpaksa memberi kelebihan (handicap) kepada pasukan pilihan.
“Saya kurang pasti jika ada pemain Terengganu sekarang yang terbabit dengan mengatur perlawanan walaupun sebelum ini, saya tahu ada pemain yang menerima imbuhan daripada ‘bookie’.
“Mungkin segala-galanya sudah berubah, namun saya kurang yakin, memandangkan masih banyak lagi peluang untuk kaki judi bertaruh keputusan perlawanan liga tempatan,” katanya.
Mr T berkata jika Liga Perdana Malaysia ada ditawarkan ‘hang cheng’ (pasaran pertaruhan), sudah tentu lebih ramai lagi kaki judi yang berminat untuk meletakkan wang pertaruhan untuk perlawanan Liga Super.
“Jika tidak ada ‘bookie’ yang menjalankan operasi di mana-mana bandar, kaki judi cuma perlu melayari laman web perjudian bola sepak yang semakin banyak muncul sekarang ini,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Terengganu, Datuk Che Mat Jusoh, berkata beliau menyedari beberapa usaha yang dilakukan ‘bookie’ untuk membabitkan pemain Terengganu dalam menentukan hala tuju keputusan perlawanan.
Dalam ucapannya ketika pelancaran Liga Darul Iman di Permai Inn baru-baru ini, Che Mat menyeru pemain supaya mengekalkan etika sukan dengan menjauhi diri daripada gejala seperti rasuah dan mengatur perlawanan.
“Pihak ‘bookie’ akan terus mencuba untuk memberi habuan lumayan kepada pemain, namun semua itu dapat dielakkan sekiranya pemain jujur dengan diri mereka sendiri.“Setakat ini, saya berpuas hati dengan sikap pemain yang cepat memberitahu pihak pengurusan apabila ada wakil ‘bookie’ yang cuba berhubung dengan mereka,” katanya.Katanya, buat masa ini, pihak pengurusan juga yakin tidak ada pemain yang terbabit dengan gejala menerima rasuah dan menjual perlawanan.
No comments:
Post a Comment