Sunday, July 12, 2009

MPOB sedia bantu Terengganu

Sumber: Berita Harian

Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) komited melaksanakan aktiviti penyelidikan dan perkhidmatan bagi menyokong perkembangan industri sawit di Terengganu sejajar perancangan kerajaan negeri bagi mempertingkatkan kawasan penanaman sawit di negeri berkenaan.

Ini dinyatakan Pengerusi MPOB, Dato’ Sabri Ahmad ketika pertemuan dengan pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Terengganu, Tuan Rozi Mamat di Kuala Terengganu baru-baru ini.

Katanya, Stesen MPOB Hulu Paka menjalankan penyelidikan bagi pengeluaran bahan tanaman bermutu, amalan agronomi dan integrasi tanaman dan ternakan di ladang sawit bagi peningkatan hasil buah tandan segar (BTS) dan pendapatan pengusaha ladang dan pekebun kecil sawit.
”Pejabat MPOB Cawangan Kuala Terengganu yang berperanan melaksanakan aktiviti pelesenan dan kawal selia turut menyelaras penubuhan Kumpulan Produktivti Terselia (KPT).

Katanya, Pegawai TUNAS MPOB (Tunjuk Ajar dan Nasihat Sawit) yang berada di seluruh negara berperanan membantu pekebun kecil bagi pengurusan dan penyelenggaraan tanaman sawit yang sempurna dan penggunaan teknik moden.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian Negeri menegaskan bahawa di bawah pelaksanaan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), Kerajaan Negeri Terengganu akan memajukan penanaman sawit dan industri berkaitan bagi menjana ekonomi negeri dan menyokong Pelabuhan Kuantan yang akan dibangunkan sebagai Kelompok Industri sawit bagi wilayah Pantai Timur.
Katanya, harga sawit yang stabil berbanding tanaman lain meningkatkan pendapatan pekebun kecil, justeru kerajaan negeri memberi tumpuan kepada penanaman sawit berskala besar yang membabitkan pekebun kecil bagi menjana ekonomi penduduk luar bandar.

Semasa di Terengganu, Pengerusi MPOB turut mengadakan lawatan ke Stesen MPOB Hulu Paka bagi meninjau aktiviti penyelidikan dan operasi ladang stesen penyelidikan berkenaan.

No comments:

Post a Comment