Oleh Hamid Salleh (Berita Harian Online)
Seorang pembantu rumah warga Indonesia berusia 22 tahun yang sedang asyik berbelanja mewah menggunakan hasil wang yang dipercayai dicuri daripada majikannya di sebuah pasar raya di bandar raya ini, diberkas polis, petang kelmarin.
Pembantu rumah itu dikatakan mahu melarikan diri dengan mencuri wang tunai RM2,500 daripada beg tangan majikannya dan dia berbelanja mewah di sebuah pasar raya di sini dengan membeli pelbagai barangan, termasuk jam tangan dan telefon bimbit untuk dibawa pulang ke kampungnya di Indonesia.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintendan K Manoharan, berkata majikan pembantu rumah itu yang juga isteri kepada bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri, Datuk Wan Hisham Wan Salleh mendapati pembantu rumah terbabit tidak ada di kawasan rumah, kira-kira jam 3 petang.
Pemeriksaan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di sekitar banglo di Jalan Ibrahim itu mengesan pembantu rumah itu keluar dalam keadaan mencurigakan sejam sebelum itu.
Manoharan berkata, menyedari beg tangannya hilang dan pembantu rumah berkenaan tidak ada di rumah, majikan itu yang berusia 52 tahun dan bekerja sebagai pensyarah di sebuah universiti di sini, mula mencari pembantu rumah berkenaan di sekitar bandar raya ini.
Katanya, selepas empat jam mencari, seorang ahli keluarga Datuk Wan Hisham yang turut sama mencari, terjumpa pembantu rumah itu di Mydin Mall yang sedang membeli pelbagai barangan, kira-kira jam 7 petang.
Beliau berkata, pembantu rumah itu ditahan dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Manoharan berkata, polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan dan pembantu rumah terbabit masih ditahan.
No comments:
Post a Comment