Tuesday, July 21, 2009

Nur Razlina Tokoh Nilam Kebangsaan

Kerajaan Negeri Terengganu wajar menganugerahkan sesuatu kepada pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan Sheikh Abdul Malek kerana menang sebagaiTokoh Nilam peringkat kebangsaan melalui Program Nadi Ilmu Amalan Membaca (Nilam) tahun ini.

Ini kerana Terengganu mencatat satu lagi kejayaan dalam bidang pendidikan apabila buat kali pertamanya, pelajar dari negeri itu dianugerah sebagai Tokoh Nilam peringkat kebangsaan melalui Program Nadi Ilmu Amalan Membaca (Nilam) tahun ini.

Nur Razlina Rozi, 17, pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan Sheikh Abdul Malek, di sini dipilih menerima anugerah berkenaan melalui kategori sekolah bandar.

Menurut Utusan Malaysia Jumaat (17 Julai 2009) lalu, majlis penganugerahan kepada pelajar tersebut yang dianjurkan oleh Kementerian Pelajaran berlangsung di ibu negara pada malam 16 Julai.

Kepulangan pelajar melalui penerbangan MAS dari Kuala Lumpur itu disambut oleh Pengarah Pelajaran Negeri, Ariffin Embong, ibu bapanya, Rozi Mamat dan Zainah Mohd. Zain, guru-guru serta pelajar di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu pada Khamis.

Ariffin ketika ditemui berkata, kejayaan Nur Raazlina merupakan satu pencapaian yang amat membanggakan bagi seluruh warga pendidikan kerana pertama kali pelajar dari Terengganu menerima Anguerah Tokoh Nilam peringkat kebangsaan.

Katanya, bagi pihak jabatan satu majlis pengiktirafan akan diadakan dan kejayaan ini juga akan dimaklumkan kepada kerajaan negeri bagi membolehkan pihak kerajaan negeri memberikan pengiktirafan kepada pelajar terbabit.

Pemilihan anugerah Nilam dibuat berdasarkan beberapa kriteria yang ditetapkan antaranya dapat menguasai sekurang-kurangnya tiga bahasa di samping mempunyai personaliti cemerlang dan ciri-ciri kepimpinan.

Sementara itu Nur Razlina, pelajar jurusan sains pula bersyukur kerana dipilih untuk menerima anugerah dan pencapaian yang diperoleh sememangnya tidak diduga sama sekali.

''Ini kerana saya juga terpaksa bersaing dengan pelajar-pelajar sekolah berasrama penuh daripada seluruh negara,'' katanya yang bercita-cita untuk menjadi doktor.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada kedua ibu bapa, guru-guru serta rakan-rakan yang banyak memberi sokongan sehingga mencapai kejayaan yang amat membanggakan.

No comments:

Post a Comment