Friday, July 31, 2009

Pasir Tebakang dikaji dinaik taraf - Lajim

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sedang mempertimbangkan permohonan rakyat di Kampung Pasir Tebakang, Manir untuk menaik taraf kemudahan di kawasan berkenaan.

Permohonan itu melibatkan peruntukan sebanyak RM800,00 meliputi penambahbaikan jeti, pembinaan dua buah rumah kedai dan padang permainan kanak-kanak yang baru.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Panglima Lajim Ukim berkata, kementerian akan membincangkan usul tersebut dengan segera bagi menjamin keselesaan rakyat di peringkat akar umbi.

“Kementerian akan mempertimbangkan suara rakyat di Kampung Pasir Tebakang yang meminta supaya membuat penambahbaikan jeti, membina dua buah rumah kedai dan padang permainan kanak-kanak yang memakan belanja RM800,000.

“Setiap kemudahan baru itu akan dibincangkan dan diselesaikan dalam masa terdekat ke arah meningkatkan taraf hidup rakyat di kampung ini seiring perkembangan semasa,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan amat menitikberatkan keperluan rakyat terutama golongan miskin kerana jika tidak dibantu kehidupan mereka akan bertambah teruk dan keadaan ini me-nyebabkan berlakunya pelbagai masalah lain.

Beliau berkata demikian selepas berucap pada Program ‘Local Agenda 21’ Pemimpin Bersama Rakyat Menyusur Sungai Ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir dan Menikmati Buah-buahan Tempatan di Dataran Warisan Kampung Pasir Tebakang, Manir, dekat Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Turut sama, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu, Rozi Mamat; Ketua Pemuda UMNO Terengganu, Saiful Bahri Baharudin; Ketua Wanita UMNO Terengganu, Senator Fatimah Hamat; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Datuk Mat Razali Kassim dan Pegawai Pembangunan DUN Manir, Yusof Awang Hitam.

Sehubungan itu, Lajim berharap, rakyat di negeri ini bijak memanfaatkan saluran kemudahan yang diberikan dengan baik.

Mereka juga diingatkan supaya sedar bahawa kerajaan tidak akan menyusahkan mereka, sebaliknya berusaha membangunkan kehidupan rakyatnya.

No comments:

Post a Comment