Saturday, July 25, 2009

Pelbagai tarikan baru di Tasik Kenyir

Sumber: Berita Harian

Gambar oleh Shuhaimi Ahmad (UKOM)


Tasik Kenyir yang kaya dengan keunikan serta keindahan flora dan fauna akan dibangunkan kerajaan negeri secara besar-besaran mulai tahun depan, dalam usaha menarik ramai pelancong ke tasik buatan manusia terbesar di Asia itu.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, berkata Tasik Kenyir yang dilihat banyak pihak sebagai kawasan tidak berpotensi dan menarik untuk dibangunkan sebagai antara destinasi pelancongan popular, sebenarnya mempunyai banyak tarikan semula jadi boleh dieksploitasi bagi menarik kunjungan lebih banyak pelancong dari dalam dan luar negara.

Beliau berkata, antara projek pembangunan terbaru yang dirancang kerajaan negeri ialah pembinaan 300 chalet di kawasan seluas 52 hektar di Pulau Serindit, bagi menampung keperluan pelancong yang meningkat, apabila 10 pulau yang dibangunkan dengan pelbagai tarikan baru itu siap kelak.

Katanya, projek pembinaan chalet yang belum dimuktamadkan kosnya itu akan dibangunkan menggunakan teknik pelancongan ekologi atau mesra alam dengan meminimumkan penebangan pokok di kawasan sekitar serta mengelak pencemaran alam semula jadi di situ.

"Kita akan memulakan projek pembinaan chalet berbentuk rumah tradisional Terengganu, Kelantan, Pahang dan Selangor ini selepas semua kajian dan Analisis Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) siap dibuat.

“Kita juga akan menggunakan tenaga solar bagi menggantikan jenerator untuk menyediakan bekalan elektrik sepanjang proses pembinaannya kelak.

"Kita tahu, sangat sukar bahkan boleh dikatakan tidak ada pihak swasta yang berminat untuk melabur dan membangunkan kawasan ini dengan chalet atau tarikan lain kerana kebimbangan mereka terhadap potensi pelancongan di Tasik Kenyir yang dianggap sangat rendah.

"Justeru, kerajaan negeri melalui peruntukan dari wang royalti minyak bertanggungjawab membangunkan kawasan ini dalam usaha menjadikan Tasik Kenyir sebagai lokasi pelancongan yang sangat menarik kepada pelancong, sekali gus menggamit lebih ramai pengunjung dan menjana ekonomi untuk kerajaan negeri," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Pulau Petang, Tasik Kenyir di sTasik Kenyir Rabu lalu (22 Julai 2009).

No comments:

Post a Comment