Saturday, July 25, 2009

Marang menjadi tarikaan penyelidik 24 negara

Kunjungan 24 penyelidik luar negara ke Kampung Jenang, Marang mampu mengetengahkan lagi keunikan dan keistimewaan produk desa di Terengganu, sekaligus menaikkan industri pelancongan negeri.

Penyelidik dan pegawai alam sekitar dari Ghana, Namibia, Afghanistan, Kepulauan Ivory, Thailand, Somalia dan Nepal yang mengikuti kursus Pengurusan dan Perancangan Integrasi Alam Sekitar (IEPM) di Insititut Tadbir Awan Negara (Intan) Bukit Kiara, Kuala Lumpur mengadakan lawatan ke daerah itu dua hari bermula Selasa lalu (21 Julai 2009).

Yang Dipertua Majlis Daerah Marang (MDM), Mohd Elias Nik, berkata kehadiran mereka seumpama duta kecil yang akan bertindak menyampai dan menyebarkan berita mengenai keindahan dan keunikan Terengganu kepada penduduk di negara masing-masing.


Pelancong luar negara yang terdiri daripada penyelidik melihat sambil mencuba jahit atap nipah secara tradisional ketika mereka singgah di Kampung Jenang, Marang. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

.
Mohd Elias berkata, pihaknya dimaklumkan peserta dari kalangan penyelidik dan pegawai alam sekitar dari negara dunia ketiga dan selesai sahaja lawatan, mereka akan menyediakan kertas kerja bagi membentangkan laporan sepanjang kunjungan mereka ke sini.

"Malah, kita turut meminta mereka menghantar laporan berkenaan kepada MDM dan kerajaan negeri untuk meneliti jika ada cadangan bernas atau kelemahan kita yang perlu dikaji semula bagi tujuan penambahbaikan sama ada untuk sektor pelancongan atau isu konservasi," katanya.

Dalam lawatan itu, pelancong berkenaan yang diraikan dalam majlis di Marang Riverview Resort, dibawa menyusuri sungai dari jeti berhampiran untuk menerokai keindahan produk pesisir air sebelum tiba di Kampung Jenang, kira-kira sejam kemudian.


Pelancong disambut dengan seni silat Terengganu sebaik tiba di jeti bot Kampung Jenang, Marang

Mereka kemudiannya dijamukan dengan pelbagai makanan tradisional masyarakat kampung seperti ketupat, tapai pulut, rojak buah, air nira serta buahan-buahan tempatan.


Terpegun melihat manisan atau gula melaka yang dihasilkan secara kampung.

Mereka turut dibawa meninjau persekitaran kampung bagi menyaksikan demonstrasi menghasilkan atap nipah, mengambil air nira dari pokok kelapa serta pemprosesan gula melaka.

No comments:

Post a Comment