Oleh Hamid Salleh (Berita Harian)
Nelayan di Rantau Abang di sini bersyukur dengan daya usaha proaktif kerajaan negeri yang melaksanakan kerja pembersihan tukun di perairan itu kerana ia sudah pasti memberi manfaat kepada mereka yang mana akan menambah pendapatan mereka pada masa depan.
Di kalangan nelayan, mereka mengakui penggunaan tukun tiruan banyak membantu menambah hasil tangkapan mereka kerana koloni ikan menjadikannya sebagai lubuk. Sejak tukun tiruan diperkenalkan lebih sedekad lalu, nelayan mengakui hasil tangkapan mereka meningkat.
Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini keadaan mula berubah apabila hasil tangkapan sudah tidak sebanyak dulu dan perkara ini dikaitkan dengan fenomena persekitaran tukun yang tidak menggalakkan. Antaranya, keadaan tukun yang dikatakan sesak dengan bahan buangan dan terdedah dengan objek yang menakutkan ikan termasuk tinggalan pukat yang tersangkut.
Menyedari keadaan itu, kerajaan negeri dengan kerjasama Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Terengganu (MTPNT) dan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Rantau Abang menganjurkan program membersihkan dan menyelamatkan tiga kawasan tukun di perairan Rantau Abang, baru-baru ini.
Tindakan membersih tukun bertujuan memastikan kawasan itu mampu menarik lebih banyak ikan dan membolehkan nelayan memperoleh hasil tangkapan yang lebih baik.
Seramai 20 penyelam termasuk penduduk Kampung Rantau Abang menyertai program sehari itu dan berjaya memotong pukat nelayan yang tersangkut pada tukun di kawasan berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Za'abar Mohd Adib, berkata objektif program itu adalah menjalankan kerja pembersihan tukun di perairan Rantau Abang supaya mampu menarik lebih banyak ikan ke kawasan berkenaan.
No comments:
Post a Comment