Sumber: Berita Harian/Bernama/The Star
PELAKON Norman Hakim bersama Suhaiza Suhaimi atau Memey hadir di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur untuk mendengar perbicaraan kes khalwat mereka.
Mahkamah Syariah Gombak Timur, hari ini diberitahu bahawa pertuduhan berkhalwat terhadap pasangan pelakon Norman Hakim dan Memey tahun lalu adalah salah dan tidak berasaskan fakta.
Pegawai Penguatkuasa Agama, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIs), Abdul Rahman Lai Abdullah dalam keterangannya sebagai sebagai saksi pertama pendakwaan bagi kes itu, mengakui pertuduhan itu tidak betul kerana Norman tidak ditemui pada 3 pagi dalam premis yang sama seperti dinyatakan dalam kertas pertuduhan.
Sebaliknya, menurut Abdul Rahman, pelakon itu ditemui dan ditahan ketika berada dalam premis di tingkat atas dari tempat Memey ditemui, yang merupakan sebuah premis berlainan dan mempunyai alamat yang berlainanan.
"Saya tidak nampak manamana lelaki semasa (saya) masuk ke dalam rumah (premis dalam kertas pertuduhan) dan saya juga tidak nampak manamana lelaki semasa memeriksa tingkat bawah dan ruang udara di tingkat atas rumah," kata Abdul Rahman ketika disoal balas oleh peguambela Fakhrul Azman Abu Hassan.
Pada 20 Jan lepas, Norman atau nama sebenarnya Mohamed Norhakim Zaidon, 33, mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan berkhalwat dengan Memey atau nama sebenarnya, Suhaiza Suhaimi, 21, di pejabat beralamat 41A, Jalan UP 1/2 Taman Ukay Perdana, Hulu Klang, pada 3 pagi 30 Okt 2008.
Bagi kesalahan itu Norman dibicarakan mengikut Seksyen 29(1)(a) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 manakala Memey didakwa mengikut Seksyen 29(1)(b) enakmen sama.
Dalam sesi soal balas itu lagi, Abdul Rahman juga bersetuju dengan cadangan peguambela bahawa pemeriksaan oleh pegawai penguatkuasa agama pada malam kejadian adalah berdasarkan maklumat dengar cakap daripada pengadu yang dibuat melalui panggilan telefon.
Fakhrul: "Bagaimana kamu tahu bahawa dalam premis itu ada orang yang didakwa salah, lelaki (Norman) dan wanita (Memey) ini?"
Abdul Rahman: "Dari maklumat yang diterima dari pengadu."
Fakhrul: "Setuju atau tidak saya katakan bahawa pemeriksaan premis adalah berdasarkan dengar cakap atau hearsay daripada pengadu sahaja?"
Abdul Rahman: "Betul."
Saksi itu bagaimanapun tidak bersetuju dengan cadangan peguambela bahawa maklumat yang diberikan pengadu yang mendakwa Norman dan Memey berada dalam premis beralamat 41A itu adalah salah kerana Norman sebenarnya tidak berada pada pukul 2.40 pagi dalam premis yang dinyatakan.
"Saya tidak boleh kata maklumat itu tidak betul kerana saya belum selesai membuat pemeriksaan lagi ketika itu," katanya.
Perbicaraan disambung 31 Julai.
No comments:
Post a Comment