Pembinaan Hotel Wakaf bernilai RM39 juta di Kuala Terengganu, yang tertangguh lebih setahun lalu akan dibangunkan semula selewat-lewatnya akhir tahun ini.
Projek pembinaan hotel tersebut akan diteruskan dengan bantuan pengurusan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji.
Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Wan Harujan Sulaiman berkata, projek pembinaan hotel itu kini berada di peringkat akhir pemerosesan tender Jabatan Kerja Raya (JKR) dan dijangka dapat dilaksanakan pembinaannya secepat mungkin.
Katanya, projek yang mendapat pembiayaan sepenuhnya daripada Kerajaan Pusat itu akan dibina di kawasan seluas 0.3 hektar di tengah-tengah pusat bandar.
"Ia tertangguh kerana masalah reka bentuk. Pelaksanaannya dijangka dimulakan tahun ini juga," katanya kepada pemberita selepas majlis kesyukuran MAIDAM atas pencapaian mendapat tiga bintang dalam Pengauditan Akaun MAIDAM Bagi Pengurusan dan Penyata Kewangan Tahun 2008 Khamis lalu.
Hadir sama Yang Dipertua MAIDAM, Mazlan Hashim dan Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Datuk Mohd. Alim Muda.
Mengulas lanjut, Wan Harujan berkata, Hotel Wakaf yang bertaraf tiga bintang dengan 180 bilik itu mampu menjadi model sebagai penubuhan hotel-hotel wakaf di tempat lain.
Katanya, selain memenuhi fardu kifayah umat Islam musafir, ia juga membantu kerajaan negeri dalam menampung keperluan hotel di Terengganu.
Hotel Wakaf dijangka menjadi tumpuan kerana kedudukannya yang strategik di tengah-tengah bandar dan berdekatan Masjid Sultan Zainal Abidin (Masjid Putih) serta Pasar Kedai Payang.
Selain itu, katanya, MAIDAM menyiapkan lima unit ruang niaga di tengah-tengah pusat bandar yang dikhususkan untuk peniaga emas dikenali sebagai Pusat Emas (Gold Centre) yang akan memulakan operasi perniagaan September ini.
Terdahulu, Mazlan dalam ucapannya berkata, pihaknya bangga kerana MAIDAM buat pertama kali mendapat tempat pertama dalam pengurusan pengauditan.
Katanya, ini kejayaan besar dan semua kakitangan diharap meningkatkan prestasi dalam semua bidang secara berterusan bagi memastikan mencapai MAIDAM kecemerlangan.
No comments:
Post a Comment