Sunday, July 19, 2009
Hadiah tangkap Arapaima Gigas dinaikkan
Sumber: Berita Harian
Hadiah ditawarkan oleh kerajaan negeri untuk yang berjaya menangkap Arapaima Gigas ketika ini RM10,000.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, kerajaan negeri mungkin akan menaikkan nilai ganjaran jika tidak ada pemancing yang berjaya menangkap ikan itu sehingga tempoh ganjaran berakhir pada 15 Ogos ini.
Apakah ia akan mencecah sehingga RM20,000? Tunggu selepas pertengahan bulan depan.
Sehingga ini belum ada mana-mana pihak berjaya menangkap ikan berkenaan.
Dan selepas tiada lagi individu yang berjaya menaikkan ikan naga atau Arapaima Gigas di Tasik Kenyir, beberapa agensi menjalin kerjasama mengadakan operasi besar-besaran bagi memburu spesies ikan itu mulai semalam.
Pengarah Perikanan negeri, Munir Mohd Nawi, berkata operasi sehingga pertengahan Oktober depan itu bertujuan melipatgandakan usaha untuk mempercepatkan penangkapan ikan naga bagi mengelak spesies ikan lain di tasik itu habis dimakan pemangsa yang berasal dari Sungai Amazon itu.
Beliau berkata, operasi menangkap dan memantau ikan naga yang berterusan selama tiga bulan di Tasik Kenyir itu membabitkan kerjasama antara Jabatan Perikanan Negeri, Polis Marin, Pejabat Daerah Hulu Terengganu dan Jabatan Perhilitan Negeri dengan kekuatan 10 anggota yang bergilir setiap hari.
"Sejak kerajaan negeri mengumumkan ganjaran RM10,000 kepada pemancing yang dapat menaikkan ikan naga, belum ada lagi individu yang berjaya dalam misi itu. Justeru, kita sepakat mengadakan operasi ini untuk mempercepatkan usaha menangkap ikan gergasi itu.
"Ini kerana, kita mendapat maklumat ramai pelancong takut untuk ke Tasik Kenyir kerana bimbangkan keselamatan walaupun ikan itu hanya menjadikan ikan kecil sebagai makanannya, bukan manusia," katanya ketika dihubungi semalam.
Akhbar sebelum ini melaporkan kerajaan Terengganu menawarkan hadiah wang tunai RM10,000 sehingga 15 Ogos ini kepada pemancing di Tasik Kenyir yang dapat menaikkan ikan Arapaima Gigas dan mereka yang berminat perlu mendaftar dengan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) dan mematuhi syarat ditetapkan.
Mengulas lanjut, Munir berkata, berdasarkan maklumat awam, pihaknya mengenal pasti empat lokasi utama sebagai sasaran menangkap ikan itu iaitu di Sungai Babi, Sungai Buluh Nipis, Sungai Tembat dan Sungai Petuang.
"Maklumat yang diperoleh daripada orang ramai mendakwa sering melihat kelibat ikan naga di empat sungai ini. Mereka mendakwa saiz ikan itu adalah antara tiga hingga empat meter dengan anggaran berat 80 hingga 100 kilogram seekor.
"Ada juga mendakwa ikan naga di Tasik Kenyir itu adalah ikan peliharaan penduduk yang terlepas daripada sangkar," katanya.
Beliau berkata, sebuah rumah operasi yang diletakkan di kawasan berhampiran lokasi pemantauan dan penangkapan ikan naga itu juga disediakan bagi memudahkan anggota membuat pemantauan dari semasa ke semasa.
No comments:
Post a Comment