Sumber:Berita Harian
Dewan Pemuda PAS semalam secara terbuka menjemput Pemuda UMNO mengadakan perbincangan ilmiah atau dialog berhubung isu semasa bagi menyelesaikan krisis antara kedua-dua parti itu.
Pelawaan itu disambut baik oleh Pemuda UMNO yang menyifatkannya sebagai satu perkembangan baru yang dapat membuka peluang bagi kedua-dua parti membuat perkara baik demi kepentingan bangsa dan negara.
Pemuda Sosialis DAP kecewa dengan tindakan Pemuda PAS menjemput Pemuda UMNO untuk mengadakan perbincangan ilmiah itu.
Ketua Pemuda Sosialis DAP, Anthony Loke, berkata tindakan Pemuda PAS itu akan menimbulkan kekeliruan di kalangan penyokong pembangkang kerana Pakatan Rakyat secara jelas menolak sebarang perbincangan berhubung kerajaan perpaduan dengan UMNO.
"Saya terkejut dengan wacana ini walaupun PAS mempunyai hak (untuk mengadakannya), sebagai rakan dalam Pakatan, hal ini tidak pernah ditimbulkan sebelum ini.
"Kita sudah tegaskan, kalau mahu berdebat, mengapa hanya membabitkan dua parti. Jika membabitkan Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional, kita alu-alukan," katanya.
Ditanya sama ada beliau akan berjumpa dengan Nasrudin untuk meminta penjelasan, Loke berkata, ia akan dibangkitkan dalam mesyuarat Pemuda Pakatan minggu depan.
Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasrudin Hassan, pada sidang media bersama Naib Ketua Pemuda UMNO, Datuk Razali Ibrahim, di lobi Parlimen, semalam berkata perkara utama yang difokuskan dalam wacana itu adalah berhubung isu berbangkit serta soal prinsip dan hala tuju perjuangan bersama termasuk membabitkan umat Islam negara ini.
"Ini adalah satu usaha ke arah membincangkan dan menyelesaikan masalah yang menjadi polemik dan krisis antara kedua-dua parti dan yang lebih penting untuk kebaikan rakyat.
"Kami sangat positif dan bersikap terbuka dalam apa juga suasana ke arah menangani isu yang dapat menyelesaikan masalah.
"Insya Allah ia akan menjadi permulaan untuk kita memperbanyakkan perbincangan dan menghidupkan budaya ilmiah dalam menyelesaikan masalah," katanya.
Terdahulu, beliau menyerahkan surat jemputan kepada Razali bagi mengadakan dialog itu. Kedua-duanya yang diiringi beberapa pemimpin Pemuda PAS dan UMNO, turut mengadakan perbincangan kira-kira 15 minit di lobi Parlimen.
Ditanya sama ada wacana itu menjurus ke arah perbincangan mengenai kerajaan perpaduan yang ditolak pakatan pembangkang sebelum ini, Nasrudin berkata: "Kita tengok macam mana."
Beliau berkata, surat jemputan kepada Pemuda UMNO itu perlu dijawab dalam masa tujuh hari dan jika UMNO menerimanya, sebuah sekretariat akan ditubuhkan bagi menentukan format, keanggotaan, tajuk, masa dan tempat dialog itu diadakan.
Katanya, beliau mencadangkan tajuk "Wacana Ilmiah Terbuka: Benarkah Perjuangan UMNO Tidak Bertentangan Dengan Islam", namun Razali meminta tajuk itu ditentukan kemudian mengikut kesesuaian kedua-dua pihak.
Razali pula berkata, perbincangan itu membuka peluang bagi kedua-dua pihak untuk membuat perkara baik demi kepentingan bangsa dan negara.
"Saya percaya perbincangan yang dijalankan dengan ikhlas dan jujur ini dapat menyelesaikan banyak perkara dan ia bukannya semata-mata berkaitan dengan politik," katanya.
No comments:
Post a Comment