Sumber : Utusan Malaysia/UKOM
Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berharap kedatangan pelancong ke Terengganu akan meningkat terutama dari Singapura selepas Firefly kini mengadakan penerbangannya ke sini.
Beliau berkata, penerbangan terus dari Singapura itu merupakan penerbangan antarabangsa yang pertama ke Terengganu dan ia mampu melonjakkan industri pelancongan negeri.
Penerbangan dua hala Firefly Singapura-Terengganu itu mengambil masa sejam 20 minit dengan tambang serendah RM88 bagi perjalanan sehala.
Beliau berkata, kerajaan Terengganu memberi subsidi untuk syarikat penerbangan itu termasuk cukai penumpang, pendaratan dan pakir selama tiga tahun dalam usaha menggalakkan lebih banyak penerbangan antarabangsa terus ke LTSM.
"Dengan pengecualian cukai itu, kerajaan Terengganu terpaksa menanggung kos sehingga RM3 juta bagi tempoh tiga tahun," katanya.
Penerbangan sulung yang membawa 42 pelancong dari negara itu mendarat di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), kira-kira jam 6.30 petang dan disambut Menteri Besar, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mokhtar Nong serta beberapa pemimpin negeri.
Menteri Besar turut menyampaikan cenderamata daripada kerajaan negeri kepada setiap penumpang yang menaiki pesawat tersebut, sebaik saja mereka melangkah ke pintu masuk Balai Ketibaan LTSM.
Untuk rekod, lebih 3.5 juta pelancong, yang sebahagian besarnya dari Singapura, China dan Eropah melawat Terengganu tahun lepas.
Sementara itu, Pengarah Urusan Firefly, Eddy Leong berkata sambutan terhadap penerbangan terus itu ke Terengganu sangat menggalakkan apabila pihaknya menerima tempahan tiket sehingga 60 peratus walaupun dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu ketika ini.
Keceriaan terpancar pada wajah penumpang pesawat Firefly Singapura-Kuala Terengganu itu yang diberi sambutan meriah, termasuk tarian selamat datang dan jamuan ringan.
Pada sidang akhbarnya, Dato’ Ahmad mengumumkan kerajaan negeri akan menambah kemudahan bagi menjadikan negeri ini sebagai pusat membeli-belah, sebagai salah satu usaha menarik kedatangan pelancong.
“Kerajaan negeri sedia menambah peruntukan bagi tujuan itu dan pada masa yang sama kita harap usahawan tempatan menambah produk mereka untuk dijual kepada pelancong,” katanya.
“Peniaga juga perlu menjual barangan dengan harga berpatutan dan tidak mengambil kesempatan mengaut keuntungan dengan meletakkan harga terlalu tinggi kepada pelancong,” katanya.
No comments:
Post a Comment