Tuesday, July 28, 2009

Penyalahgunaan e-book – 6 sahaja terbabit

Hanya enam murid terbabit dan bukan 12 orang seperti dilaporkan.

Isu ini pun bukan baru, bulan lepas lagi dan tidak menjadi perkara yang wajar diperbincangkan lagi.

Namun oleh kerana ditimbulkan semula oleh sebuah akhbar tabloid nasional semalam, ia diperkatakan semula.

Bagaimanapun, pihak sekolah telah menarik balik penggunaan e-Book membabitkan enam murid berkenaan.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman pihaknya amat menghargai tindakan pantas pihak sekolah yang mengesan kejadian itu daripada terus menular.

“Pihak kami dapati salah seorang bapa kepada enam murid terbabit bekerja dalam bidang perisian komputer,” katanya.

Menurut beliau, mungkin perisian permainan yang membolehkan pakaian wanita ditanggalkan setiap memenangi pertandingan dalam video itu diperoleh melalui cara itu.

Sementara itu, Kerajaan Terengganu akan memperkenalkan perisian khas bagi mengatasi masalah penyalahgunaan buku elektronik (e-Book) dalam usaha menyekat akses laman web tidak sepatutnya membabitkan murid tahun lima yang menikmati kemudahan itu.

Ahmad Razif berkata, perisian khas itu membolehkan guru mengawal dan mengunci penggunaan e-Book sepanjang waktu pembelajaran nanti.

“Bagaimanapun, langkah itu akan melibatkan kos yang tinggi dan berdasarkan kajian dijalankan, kira-kira RM30 juta diperlukan bagi melaksanakan perkara itu dengan membabitkan seramai 15, 000 murid di negeri ini.

“Justeru, ia akan mengambil sedikit masa untuk melaksanakan perkara ini dan saya berharap supaya guru terus memantau penggunaan e-Book di sekolah, sementara ibu bapa pula memantau di rumah,” katanya kepada pemberita ketika mengadakan lawatan ke Sekolah Kebangsaan Kompleks Gong Badak, Kuala Terengganu kelmarin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan sebuah akhbar mengenai tindakan 12 murid salah sebuah sekolah di Gong Badak yang menyalahgunakan buku elektronik itu dengan menyimpan rakaman video dan gambar lucah.

No comments:

Post a Comment