Monday, July 6, 2009

Sakit Paru-Paru - Merokok Puncanya...

Sumber: Utusan Online

Amaran daripada pakar kesihatan. Awas bilangan pesakit paru-paru meningkat.
Bilangan penghidap kanser paru-paru di Terengganu dilaporkan meningkat setiap tahun termasuk golongan wanita yang suami mereka perokok.

Pakar Perunding Respiratori (Pernafasan) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Dr. Norhaya Mohd. berkata, sebanyak 48 penghidap kanser itu menerima rawatan di hospital tersebut sepanjang tahun lalu.

Katanya, bilangan tersebut mungkin lebih tinggi jika dicampur dengan kes di hospital daerah lain.

''Di HSNZ sahaja, sebanyak 48 kes diterima tahun lalu dan 25 kes diterima sepanjang enam bulan pertama tahun ini," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas menghadiri Kursus Neurorespiratori (Saraf dan Pernafasan) Peringkat Pantai Timur di Pulau Redang semalam.

Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan Terengganu, Dr. Mohamad Omar merasmikan kursus yang dihadiri 34 pegawai perubatan dan pakar dari negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang.
Mengulas lanjut Dr. Norhaya berkata, sebahagian besar daripada penghidap kanser paru-paru di HSNZ adalah lelaki.

''Bagi golongan wanita, kalau mereka tidak merokok, ia disebabkan asap rokok suami masing-masing,'' ujarnya.

Dr. Norhaya menegaskan, kanser paru-paru bukan penyakit genetik atau keturunan.
Sebaliknya kata beliau, hubungan kekeluargaan dengan perokok memungkinkan seseorang mendapat kanser paru-paru dan kebarangkaliannya agak tinggi.

Jelasnya, antara faktor jangkitan kanser paru-paru selain merokok adalah pemakanan berlemak, persekitaran tempat kerja seperti pendedahan terhadap asbestos dan formaldehide (bahan dalam pengawetan mayat).

''Kanser boleh dicegah dan saya nasihatkan orang ramai berhenti merokok kerana orang lain turut terdedah terutama jika merokok di tempat awam," katanya.

No comments:

Post a Comment