Monday, July 6, 2009

Perkaya sasar 200 anak yatim ke IPTA setiap tahun

Sumber: Bernama & Utusan Online

Seramai 200 anak yatim di negeri ini disasarkan mampu melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) setiap tahun dalam tempoh lima tahun akan datang.

Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim Terengganu (Perkaya), Datuk Dr. Tengku Mahmud Mansor berkata, sasaran itu berdasarkan pencapaian akademik anak-anak yatim semakin baik.

Menurutnya, pada masa ini antara 50 hingga 80 anak yatim berjaya melanjutkan pengajian ke pringkat tinggi setiap tahun.

''Sasaran peningkatan ini adalah hasil usaha dan kerjasama semua pihak untuk melihat anak-anak yatim turut mendapat tempat dan mampu bersaing dengan mereka yang mempunyai ibu bapa,'' ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian penutup dan penyampaian hadiah Sukaneka Anak Yatim Sekolah Rendah Peringkat Negeri di Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud di sini semalam.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Mohd. Nasir Ibrahim Fikri.

Katanya, walaupun ada anak yatim yang berjaya, namun tidak dinafikan masih terdapat segelintir daripada mereka mempunyai rasa rendah diri dan kurang keyakinan diri.

''Kita sentiasa memberi motivasi kepada mereka bagi memastikan golongan ini tidak berasa terpinggir.

''Anak yatim juga mempunyai kelebihan dalam bidang akademik dan kokurikulum seperti sukan yang boleh diketengahkan,'' ujarnya.

Mengulas lanjut Tengku Mahmud berkata, pihaknya dengan kerjasama Jabatan Pelajaran negeri juga akan menyampaikan bantuan pakaian Hari Raya Aidilfitri kepada anak yatim di seluruh negeri pada tahun ini.

Menurutnya, bagi tujuan itu, Perkaya akan membelanjakan kira-kira RM120,000 yang merupakan aktiviti bantuan tahunan bagi membantu golongan tersebut mendapat pakaian baru menjelang hari raya.

Jelasnya, mulai tahun depan, Perkaya akan menambahkan bilangan anak yatim yang mendapat bantuan tersebut kepada 5,000 orang berbanding 2,500 orang tahun lepas.

''Ia membabitkan murid tahun tiga dan enam serta pelajar tingkatan dua dan empat,'' ujarnya.
Beliau memberitahu, pada masa ini terdapat 11,000 anak yatim berdaftar di seluruh negeri dan daripada jumlah itu seramai 500 orang ditempatkan di asrama Perkaya di Marang dan Besut.

No comments:

Post a Comment