Wednesday, July 15, 2009

SPRM - Siasatan Kes Bumbung Stadium Runtuh Hampir Selesai

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SRPM) hampir selesai melengkapkan kertas siasatan berhubung kejadian sebahagian bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin runtuh, bulan lepas.

Pengarah (Bahagian Perisikan) SRPM, Datuk Mohd Jamidan Abdullah berkata setakat ini, lebih 90 peratus siasatan kes berkenaan, yang melibatkan elemen rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan telah dijalankan.

"Kita akan siapkan kertas siasatan ini secepat mungkin," katanya selepas menutup Seminar Integriti Dalam Pengurusan Alam Sekitar - Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) peringkat zon Timur di sini Selasa.

Dalam kejadian pada 2 Jun lepas, hampir 60 peratus struktur bahagian bumbung stadium itu, yang berharga RM270 juta dan dirasmikan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 10 Mei tahun lepas, runtuh.

Mengulas lanjut, Mohd Jamidan berkata siasatan itu melibatkan semua pihak dan dilakukan secara menyeluruh.

"Kami memerlukan sedikit masa untuk menyelesaikan siasatan. Kadang kala saksi yang berkaitan berada di luar negara dan sebagainya," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata cawangan risikan SRPM peringkat Zon Timur akan diwujudkan tahun ini, bagi membanteras gejala rasuah dengan lebih berkesan.

Mohd Jamidan berkata dalam tempoh enam bulan tahun ini, sebanyak 29 kes tangkapan rasuah dilakukan di Pahang, Kelantan dan Terengganu.

Beliau berkata Pahang mencatatkan kes tertinggi iaitu sebanyak 17 kes manakala Terengganu dan Kelantan, masing-masing enam kes.

No comments:

Post a Comment