Monday, August 3, 2009

Bertindak terhadap kuari tidak berlesen

Persatuan Kuari Malaysia Cawangan Terengganu mahu kerajaan negeri bertindak terhadap syarikat-syarikat kuari yang tidak berlesen kerana ia boleh menjejaskan industri tersebut.

Ketika ini terdapat 13 syarikat kuari yang berdaftar dengan Persatuan Kuari Malaysia Cawangan Terengganu sejak ia ditubuhkan pada 14 Oktober 2004.

Secara umumnya kuari menjalankan kerja-kerja meletup batu granit, menghancurkan batu dan menggredkan batu mengikut saiz tertentu dan proses membuat 'premix' bagi sesetengah kuari.

Persatuan juga mahu kerajaan negeri meluluskan keluasan projek kuari sekurang-kurangnya 20 hektar kerana pada masa ini kelulusan kawasan projek agak kecil.

Pengerusinya, Charlie Chow Toy Ing berkata, tindakan itu penting kerana banyak syarikat kuari berlesen terjejas dan langkah tertentu perlu diambil untuk memastikan industri kuari di negeri ini dijalankan secara sah.

''Pihak persatuan telah memaklumkan masalah tersebut kepada kerajaan negeri dan difahamkan ada yang telah diambil tindakan, tetapi masih ada yang menjalankan kegiatan itu,'' katanya pada sidang akhbar di Kuala Terengganu, semalam.

Selain itu, katanya, persatuan juga mahu tempoh lesen untuk industri kuari dipanjangkan iaitu 30 tahun berbanding dua tahun sekarang ini kerana kosnya yang besar dan memerlukan pinjaman.

''Tempoh lesen yang pendek itu sudah tentu menyukarkan syarikat kuari untuk meyakinkan institusi kewangan mengenai kemampuan sesuatu projek,'' tambahnya.

No comments:

Post a Comment