Monday, August 3, 2009

Sungai Pelagat berpotensi jadi pusat pelancongan


Sumber: Utusan Malaysia

Kawasan Hulu Sungai Pelagat dekat sini yang mempunyai kolam, sungai dan air terjun yang cantik berpotensi dimajukan sebagai lokasi ekopelancongan yang menarik di daerah ini.

Selain keindahan alam semula jadinya, kawasan itu juga mempunyai keistimewaan kerana dilingkungi dusun buah-buahan seluas kira-kira 40 hektar dengan hasil tanaman durian, rambutan, manggis serta dokong yang dimiliki oleh penduduk kampung.

Pada musim buah kali ini, dusun berkenaan memberi hasil yang lumayan kepada pemiliknya yang menghuni beberapa buah kampung di sekitarnya iaitu Padang Landak, Lak Lok, Pelagat dan Tok Motong.

Justeru penduduk mengadakan kenduri secara gotong-royong dengan menyembelih seekor lembu di samping jamuan buah durian sebagai tanda kesyukuran terhadap hasil yang diperoleh.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jerteh, Datuk Seri Idris Jusoh yang juga Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) merasmikan majlis berkenaan yang diadakan di Kampung Durian Pangan di sini, kelmarin.

Ketua UMNO Cawangan Lak Lok Luar, Abd. Razak Ahmad berkata, kawasan itu mempunyai tarikan tersendiri jika dimajukan dengan jalan yang lebih baik untuk menghubungkannya dengan jalan utama.

Katanya, Durian Pangan terletak kira-kira tiga kilometer dari jalan utama yang boleh dihubungi menggunakan sebarang kenderaan manakala untuk ke kawasan Air Terjun Telaga Tiga perlu kepada pembinaan jalan baru.

Ini kerana menurutnya, jalan menuju ke air terjun itu telah rosak manakala jambatan kayu yang dibina telah runtuh.

''Selain keindahan Air Terjun Telaga Tiga, sebuah kolam seluas kira-kira 20 meter yang diberi nama Lubuk Lesung juga amat sesuai sebagai tempat mandi-manda," ujarnya.

Selain itu Abd. Razak berkata, kawasan Sungai Manik, Pasir Serai dan Lubuk Sawa yang kesemuanya terletak dalam kawasan Hutan Simpan Pelagat mempunyai keistimewaan tersendiri yang pasti menambat hati pengunjung.

Sementara itu, Idris dalam ucapannya meminta penduduk supaya memastikan anugerah tuhan itu dijaga sebaik mungkin termasuk kebersihannya dapat dikekalkan.

Katanya, jika tidak dijaga, manfaat yang sepatutnya diperolehi hasil keunikan dan keindahan lokasi pelancongan itu akan hilang begitu saja sekali gus merugikan penduduk.

No comments:

Post a Comment