Thursday, August 6, 2009

Felda sedia 48 hektar tanah tanam sayur, buah

Sumber: Utusan Malaysia

Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) Wilayah Terengganu memperuntukkan sebanyak 48 hektar tanah bagi memulakan projek tanaman sayur dan buah-buahan di kawasan tanah rancangan tersebut.

Pengurus Besarnya, Faizoull Ahmad berkata, ia merupakan sebahagian daripada aktiviti yang dilakukan di bawah Felda Gedung Makanan Negara.

Katanya, sebanyak 40 hektar tanah di Felda Tenang, Besut dan lapan hektar tanah di Felda Chalok, Setiu diperuntukkan untuk menanam sayuran dan buah-buahan yang bersesuaian.
Menurut beliau, projek tanaman tersebut akan diuruskan oleh syarikat yang ditubuhkan oleh para peneroka di negeri ini.

''Kita akan menggunakan kaedah dikenali sebagai 'double area' dalam melaksanakan projek tanaman tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Motivasi Pelajar Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009 bersama Ibu Bapa di Sekolah Menengah Kebangsaan Teja Putera, Ketengah Jaya semalam.

Faizoull berkata, melalui kaedah tersebut, para peneroka akan menanam sayuran dan buahan di kawasan bersebelahan dengan kelapa sawit.

Katanya, kaedah itu tidak akan mengurangkan jumlah pokok kelapa sawit yang ditanam kerana ia akan mengecilkan alur tanaman kelapa sawit.

''Ia juga akan memberi pendapatan lebih cepat kepada para peneroka berbanding kepala sawit.

''Ini kerana hasil projek tanaman sayuran dan buahan boleh dituai lebih awal berbanding kelapa sawit yang memerlukan masa kira-kira dua tahun untuk mengeluarkan hasil," katanya.

Beliau memberitahu, projek tanaman sayuran dan buah-buahan itu juga lebih sesuai dilakukan oleh peneroka warga emas kerana tidak memerlukan tenaga yang banyak berbanding mengambil hasil kelapa sawit.

No comments:

Post a Comment