Dokumen yang tidak lengkap selain kesibukan peguam mengendalikan pelbagai kes dalam satu masa dikenal pasti antara punca perbicaraan terutama kes tuntutan harta sepencarian pasangan bercerai tertangguh di Mahkamah Syariah.
Ketua Hakim Syarie negeri, Datuk Ismail Yahya, berkata kes tuntutan harta sepencarian sepatutnya dapat diselesaikan dalam tempoh enam bulan, tetapi dua faktor itu menyebabkan berlaku kelewatan dalam penyelesaian kes.
Bagaimanapun katanya, Jabatan Kehakiman Syariah (JKS) negeri tidak menyalahkan atau meletakkan semua punca kelewatan itu di atas bahu peguam, sebaliknya menegaskan setiap responden bertanggungjawab menyediakan dokumen lengkap dan tidak bergantung sepenuhnya kepada peguam untuk mencari bahan bukti bagi mempercepatkan penyelesaian kes.
Justeru, Ismail berkata, bagi mengatasi masalah itu, semua dewan perbicaraan Mahkamah Syariah di seluruh negeri akan dilengkapi komputer yang mempamerkan Indeks Prestasi Utama (KPI) yang akan mengenal pasti punca utama kelewatan penyelesaian sesuatu kes.
"Dengan kemudahan ini, ia akan membolehkan hakim dan peguam meneliti KPI yang akan dipamerkan. Melalui kaedah ini, kita dapat memantau dan meneliti punca kelewatan sehingga menyebabkan kes perbicaraan terpaksa ditangguh dan berlarutan dalam tempoh panjang.
"Melalui KPI ini kita dapat kenal pasti sama ada kelewatan itu berpunca daripada hakim atau peguam yang mengendalikan kes berkenaan. Jika kelewatan itu berpunca daripada hakim, kita akan menghantar hakim mengikuti kursus peningkatan kemahiran untuk memperbaiki kelemahan yang ada," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Sistem Pengurusan Kualiti MS ISO 9001:2008 dan Pelaksanaan KPI yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Khazan Che Mat, di Kuala Terengganu kelmarin.
No comments:
Post a Comment